Salam Kamunting,
Enam tahun lepas, ketika saya masih menjawat sebagai mudir/pengetua Madrasah Darul Anuar ( kini Maahad Darul Anuar ) di Pulau Melaka, pusat pengajian ugama yang diasaskan arwah datuk saya, Tokku Nik Mat Alim, Nik Adli, kekanda saya adalah guru yang turut sama mendidik anak – anak murid yang kini kebanyakannya dah pun keluar universiti atau masih menuntut.
Beliau ditangkap dan ditahan di bawah Akta ISA pada tahun itulah. Samalah seperti seluruh keluarga mangsa ISA yang lain, kami sekeluarga merasa cukup tertekan. Tetapi, Allah menukarnya secepat yang Dia mahu. Nik Adli segera menjadi idola kebanggaan kami.
Jika anda menziarahinya di neraka binaan Umno itu ( sebelum Allah tunjukkan neraka buat mereka ), anda pasti disergap rasa kagum dengan kekentalannya, ketenangannya dan kepahlawanannya hidup mengabdi diri pada tuhannya selama lima tahun di situ. Kami melihatnya dan merasainya secara live sesudah kami membaca cerita – cerita para pejuang yang diuji dengan ujian yang sepertinya.
Ayahanda kami sudah tua. Apabila anaknya yang banyak mewarisi keperibadiannya itu ditahan, dia banyak sekali menangis membiar air matanya mengalir, lagi-lagilah di mihrab tempat bersujud mengabdi diri pada tuhanNya di malam hari itu. Dia cukup tahu, anaknya adalah mangsa percaturan politik kotor musuh untuk melemahkannya dan memburukkan reputasinya sebagai seorang ketua pejuang Islam di negara ini. Tubuhnya gagal dicalar, lalu anaknya yang ini menjadi mangsa. Pasti ayahanda cukup tahu ini.
Bonda kami, oh, bayangkan bagaimana terhirisnya hati seorang ibu yang dipaksa mengutip kembali saat-saat indah masa melahirkan dan membesarkan anaknya daripada kecilnya.
(Kalaulah Tun Mahathir dan Pak Lah sempat merasai kehangatan air mata itu di dunia ini sebelum merasai bahananya di akhirat, itulah yang terbaik buat mereka. Jikalah ada Jeanne yang memberitahu.. )
Selepas penahanannya beberapa hari, saya menulis mengenainya dengan hati yang gundah. Saya membelanya sepertilah saya mahu membela para mujahidin di Afghanistan yang hidup di medan perjuangan yang cercaan dan fitnah umat sendiri mengatasi hujanan peluru musuh. Saya hanya mengedarkannya kepada ahli jamaah di masjid kami. Beberapa orang teman menangis membaca tulisan itu.
Kini saya berusaha mencarinya, tetapi gagal. Saya acap menyimpan di tempat yang akhirnya tersimpan dari capaian saya sendiri!
Tahun lepas, ketika Israel mula menyerang Lubnan, saat Nik Adli hampir genap lima tahun penahanannya, saya menulis lagi. Saya hantar kepada Harakah dan Harakah segera menerbitkannya.
Kekanda saya akhirnya dibebaskan dari kem tahanan Kamunting selepas lima tahun merengkok. Beliau dan sahabat-sahabatnya juga. Kini beliau di tahan tahanan terhad di rumah. Alhamdulillah, Allah memakbulkan doa semua.
Sempena hampir genap enam tahun ditahan, dengan harapan semoga beliau dan sahabat-sahabatnya bebas sepenuhnya (minta dengan Allah, bukan Pak Lah), saya lampirkan kembali tulisan itu di blog ini. Ini yang ori, berbanding yang disiarkan Harakah yang telah digunting-gunting. Semoga bermanfaat untuk bacaan semua. Ya, salam Kamunting…
(Terima kasih untuk dhuat79 yang menghadiahkan untuk saya sebuah lagunya yang cukup bagus melalui email dua malam lepas. Semuanya luahan kebencian terhadap kezaliman ISA. ‘Di manakah Abi?’ Nak? Mintalah dengannya.. Rasanya, free.. )
Nik Adli, keluarga dan ISA
Sudikah saudara pembaca budiman meluang sedikit masa untuk bersama Nik Adli, kekanda saya yang masih terperangkap di Kamunting sana. Maaflah, tumpuan dan diri kita hari ini memang patut dihulurkan ke Lubnan, atau lebih jelas lagi, ke bumi Palestin.
Saya pun keliru juga untuk menulis pasal dan perihal kami sekeluarga pada saat ummat Islam sedunia berada pada tahap segenting ini. Maha guru Dr Yusuf Al Qardhawi berkata, jihad di Lubnan, apatah di bumi Palestin adalah sesuci-suci jihad di muka bumi hari ini. Nilainya tinggi disisi agama, di sisi Allah. Usah berkira pasal Hizbullah itu Syiah. Mereka adalah ahli Kalimah Syahadah, seperti kita, berdepan dengan sebesar-besar jentera kalimah kufur di muka bumi.
Tsunami dulu telah mengubah peta muka bumi. Peperangan di Lubnan hari ini akan mengubah peta wajah kehidupan manusia di bumi. Khabaran awalan daripada Nabi agung, sallallahu alaihi wasallam perihal ummatnya hari ini sentiasa diikat dengan peristiwa-peristiwa pertembungan di bumi Syam di antara tentera muslimin yang memikul kebenaran dan keadilan dengan bangsa Yahudi yang memikul panji kerosakan di muka bumi. Apalah sangat cerita Kamunting saat ini.
Kalaulah tidak kerana masa rakyat Malaysia masih ada untuk dikosongkan buat mendengar penjelasan Siti pasal bakal suaminya, atau Khairi pasal bukan Mayanya, atau Pak Lah pasal menantunya, atau Tun Mahathir pasal duka nestapanya, atau macam-macam pasal lagi, sudah pasti saya tidak suka untuk bercakap juga pasal Nik Adli dan rakan-rakannya yang terkurung sejak sekian lama di Kamunting itu.
September ini genap lima tahun abang saya itu menghuni kediaman yang dibina pemerintah Melayu Malaysia buat menahan rakyatnya yang jahat-jahat yang ditakuti menular kejahatannya di dalam masyarakat. Nik Adli atau sesiapa sahaja yang berada di kediaman ini yang dihukum sebagai jahat tadi akan menikmati dua nyawa. Satu nyawa kurniaan Penciptanya untuk hidup di dunia ini. Kedua, nyawa kurniaan Menteri Dalam Negeri untuk dia meneruskan kehidupan di Kem Kamunting.
Bezanya, bila nyawa kurniaan tuhan ditambah disambung, tiada insan yang tak gembira menyambutnya. Ada yang buat majlis baca doa panjang umur, ada upacara tiup meniup lilin. Raya puja umur pun ada juga. Adapun bila nyawa kurniaan menteri tadi disambung, ia disusuli dengan titisan air mata kesedihan yang teramat sangat oleh seluruh yang menanti nyawa itu tak disambung.
Tapi, seperti halnya Raja Namrud dan Firaun di zaman dulu-dulu, menteri ini jadi seronok dapat jadi seperti Tuhan, kalau pun tak jadi Tuhan, untuk memberi dan menarik nyawa rakyatnya yang jahat-jahat ini.
Nik Adli dan rakan-rakannya ditahan di bawah ISA atas tuduhan menjadi pengganas di bumi Malaysia. Dalam ISA, tuduhan adalah bukti yang kukuh. Mahkamah tidak diperlukan. Cukup dengan siasatan SB. SB adalah malaikat yang tak pernah dibolosi kekurangan fakta. Menteri Dalam Negeri yang bertakhta di arasynya hanya menunggu para SBnya berterbangan ke puncak membentang bukti-bukti yang takkan silap, lalu disahkannya. 2 tahun kau ke neraka Kamunting!
Tuduhan juga menyebut bahawa sekolah-sekolah agama, pondok-pondok pengajian Islam yang dibina dan dibajai ilmu para tok guru di kampung telah menjadi sarang merekrut bakal pengganas dan militan agama. Penglibatan mereka di dalam jihad Afghanistan menentang kuasa Rusia yang kufur juga ibarat menyimbah minyak ke api yang sedang marak. Kerana bahaya ini, Nik Adli dan lebih 20 rakan-rakannya ditahan bersama kumpulan pengganas ugama yang lain di bawah ISA.
Tak lama selepas itu, peperangan dilancar ke atas seluruh sekolah ugama rakyat. Tun Dr Mahathir, lagak Yahudi mengebom Lubnan, akhirnya berjaya memaksa kebanyakan sekolah- sekolah ugama tunduk kepada tuntutan pemerintah. Yang berkeras kehabisan bekalan makanan lalu rebah tersadai tanpa guru dan murid. Kalaulah beliau mampu, pasti dipikul usung sekolah-sekolah ugama ini ke Kamunting sama. Kalaulah kuasa nabi Sulaiman alaihis salam dicalit sedikit kepada mereka, itulah jadinya!
Hebatnya kuasa! Kuasa mencipta bukti dan kuasa jua menolak bukti. Kuasa adalah kebenaran. Kebenaran yang menentang kuasa adalah kezaliman. Bila semua tunduk pada kuasa, itulah keadilan!
Inilah manifestasi ISA. Pemerintah memeliharanya seperti sang bomoh memelihara dan menjamu jin iblisnya. Mimiknya, pemerintah ibarat si ‘syarifah’ itulah, bersandar pada kuasa jin iblis itu untuk memakan mangsanya.
ISA menghukum dan memangsa dalam kesamaran. Pertuduhan tanpa pembuktian. Mana dacing/mahkamah? Persaksian tanpa kelayakan. Mana jejeknya pembohongan dan akhlak yang buruk? Penghukuman tanpa keahlian. Mana hakim? Menterikah?? Undang-undang tanpa peri kemanusiaan. Mana hak membela diri? Mana segala hak pemberian Allah??
Allah menurunkan segala bukti dan keterangan, bersamanya al kitab dan al mizan (kaedah-kaedah yang mengukur kebenaran dan kebatilan), bahkan diturunkan jua besi yang tumpat lagi keras itu agar manusia berdiri tegak dengan keadilan. Besi bukan buat merajakan kuasa seperti perbuatan Yahudi ke atas Palestin dan Lubnan, bahkan besi adalah kuasa yang memaksa Yahudi tunduk pada keadilan. Keadilan adalah raja. Keadilan adalah Allah.
Saya adinda Nik Adli. Entah apa, saya selalu disapa sebagai kekandanya. Kalangan adik beradik beliau layak untuk tidak dikenali. Seorang yang pendiam. Tak petah untuk berkuliah di masjid walaupun beliau berilmu. Hobinya hobi kampungan, macam ayahanda. Berkebun, berternak. Hobi hebat masa kecilnya membuat bedil peluru bebola basikal atau panah besi ciptaan sendiri? Tak silap kami namakannya bedil teracak?? Hah, ini boleh jadi bukti militan ni! Saya selalu ikutnya menembak ikan di sawah.
Masa kecil dia agak susah untuk lancar membaca Al Quran. Balik dari Pakistan, bacaannya menjadi. Seronok jika beliau menjadi imam mengganti ayahanda di masjid. Entah askar Taliban mana menjadikannya lancar dan merdu membaca al Quran. Mungkin ada dalam maklumat SB, malaikat Islam Hadhari.
Masa di Pakistan, beliau terlibat dalam jihad Afghanistan bersama ratusan pelajar Malaysia yang lain. Mereka ke medan semasa cuti semester pengajian. Jihad suci membebaskan Negara Afghanistan dari kuasa komunis masa itu telah mendekatkannya kepada Tuhannya. Beliau mengimpikan mati syahid di jalan Allah. Bonda di Malaysia asyik menangis pasal anakandanya yang ini.
Beliau mengutusi saya di India memohon saya mendoakan agar beliau syahid di medan. Saya yang turut mengikuti perkembangan jihad melalui majalah-majalah jihad yang terbatas turut teruja dengan impiannya. Saya mendoakan beliau Mati!! Berkali-kali tapi tak mati-mati jua. Saya tahu apa untung saya dan kami sekeluarga di akhirat kelak kalau kekanda saya yang ini pergi dulu bersama para syuhada’ perjuangan. Syafaat di padang mahsyar.. Ingat Ibrahim Libya!
Rupanya, di sisi Allah ada skrip yang berbeza untuk beliau. Bahawa musuh Islam itu satu walau apa ugama dan ideologi mereka, Nik Adli yang mengacu senapang ke arah komunis akhirnya ditangkap atas kehendak dan telunjuk Amerika oleh kerajaan negaranya sendiri atas nama memerangi keganasan global.
Selepas 5 tahun pulang belajar dari Pakistan untuk sepenuh masa menabur bakti menjadi guru ugama di sekolah ugama di Pulau Melaka, beliau bersama rakan-rakannya ditangkap dalam operasi gila – gila kerajaan Malaysia dan diISAkan. Kini beliau cukup 5 tahun dalam tahanan. Anak-anaknya yang dipisahkan daripadanya oleh kerakusan nafsu pemerintah kini telah memasuki alam persekolahan.
Kesedihan adalah ujian Allah. Ia bertandang selepas kegembiraan berundur. Ia berundur apabila kegembiraan kembali lagi. Mungkin Ayahanda bonda berpaut pada degup sabar Nabi Allah Yaacob menanti pelepasan Allah dalam mengalun rindu terhadap anaknya Yusuf alaihimassalam. Mungkin isterinya pula bersandar pada kenangan silam rindu Hawa terpisah sementara daripada hilai ketawa Adam alaihimassalam semasa diturunkan ke muka bumi.
Anak-anaknya, siapakah yang dapat meneka jiwa anak-anak kecil apabila melihat sepupu-sepupu mereka bergelak ketawa dengan ayah-ayah masing-masing, sedang mereka hanya mampu melihat ayah mereka di jaringan besi yang memisahkan kasih daripada belaian, hilai tawa daripada pelukan?
Saya, juga adik-beradik yang lain memilih untuk berkata, kekandaku, kau adalah pahlawan dalam keluarga. Mengingatimu adalah ibarat mengasah tajam senjata memerangi kezaliman yang pasti lebur. Mereka telah salah dan menzalimimu sedangkan kau belum pernah dibuktikan bersalah. Mereka berdosa sebelum dan selepas. Sabarlah, kesabaran itu adalah kunci yang membuka. Apabila tali semakin tegang, ia berakhir dengan putus! Kau pun bebas. Bukankah sinar fajar itu sentiasa dekat?
Memerangi ISA adalah jihad yang tiada taranya di bumi kita. Memeranginya adalah seperti memerangi kerakusan Yahudi di bumi Palestin juga. Kerana ISA Islam ditekan sehingga melukut di kaki pemerintah. Pejuangnya dan seluruh pejuang keadilan dianiayai. Rakyat menjadi takut dan bacul. Ruh jihad Islami dipadamkan. Yang tinggal hanyalah ummat yang hanya tahu merintih dan hidup berangan-angan.
Tuhanku, bebaskan Nik Adli dan rakan-rakannya sebagaimana Engkau melepaskan beburung terbang bebas diruangMu. Tuhanku, sematkan kesabaran didadanya sebagaimana Engkau permudahkannya untuk para kekasihMu. Tuhanku, hancurkan ISA dan pendukungnya sebagaimana engkau hancurkan musuh-musuhmu sehancurnya.
Mei 22, 2008 at 3:44 pm |
jazakillahu khairan kathira ummi..
perkongsian yang jarang didapati.. bukan semua orang dapat baca.. kerna yang mengalaminya adalah golongan minoriti.. sedangkan ramai yang tertipu dengan kisah mewah dan suka-ria dunia, tipu daya dunia, kecantikan dunia.. sedikit sekali yang merasai pahitnya menanam di dunia dan menuai di akhirat.. kisah ini seperti kisah-kisah semua para pejuang dan mujahid dari awal zaman kelahiran manusia sehingga hari ini.. hasilnya sama.. seperti kata Ustaz Nik Abduh.. kisah mereka bagai mengasah pisau menjadi semakin tajam..
semoga kita terus diberikan kekuatan untuk terus tsabat atas jalanNya.. amin..
Mei 22, 2008 at 5:08 pm |
Tinta Nik Abduh itu masih ternampak2 di mata… “Mengingatimu adalah ibarat mengasah tajam senjata memerangi kezaliman yang pasti lebur.”
Sungguh perjuangan kita amat mudah dibandingkan duat2 seantero dunia, malu rasanya untuk menyebut saja. Tuhan permudahkan kerana iman kita tidak setinggi mereka.
Jika kita terus lalai Allah tidak uji kita dengan ujian tahap seterusnya kerana sayangNya kepada kita takut kita tak mampu bangun. Tapi kita, manusia memang suka ambil mudah, tak nampai nilai anugerah Ilahi.
Sungguh…betapa kita lalai dan alpa dengan ntah apa lah yang kita kejar sedang kita jauh ketinggalan menuju negara abadi.
Ya Allah tetapkanlah kami di atas jalanMu. Cekalkanlah hati2 kami untuk terus berjalan di atas jalanMu ini terus menuju redhaMu. Amin ya rabbal alamin.
Mei 23, 2008 at 5:41 pm |
Mustahil Orang Kristian Bisa Menjawab
mustahil-kristen-bisa-menjawab.blogspot.com
Mei 29, 2008 at 4:41 am |
salam alaik, ummi..
syukran di atas perkongsian ni.. betul kata2 ummi..
‘Sungguh perjuangan kita amat mudah dibandingkan duat2 seantero dunia, malu rasanya untuk menyebut saja. Tuhan permudahkan kerana iman kita tidak setinggi mereka.’
betapa mereka (para mujahid) punya jwpn buat Rabb pd hari pembalasan kelak tentang sumbangan yg diberi dlm menegakkn kalimah Laailahaillallah.. sedang diri ini, untuk melawan tuntutan nafsu pun sering saja tersunggur.. moga Allah beri kekuatan untuk bangkit dan sentiasa istiqomah di jalan-Nya.. ameen~
Firman Allah S.W.T. (yang lebih kurang maksudnya):
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)
wassalam..
kak cik,
najibah..
Mei 30, 2008 at 12:18 am |
Jeep,
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)
suka ayat ni, penyejuk hati pengubat lara di kala memanik halus turun bagai hujan rindu mahupun meluncur bagai air terjun…yg pasti rendamannya menyegarkan kembali…
maaf la sibuk sikit sekarang ni semua blog terabai…ini pun meminjam tulisan ustaz nik abduh yg sangat suka ummi baca gaya santainya mampu menggamit jiwa yg tandus … belum mampu terus menggapai awan yg tinggi amat itu…walau gunung2 jadi jejambat…sungguh kita manusia yg terlalu jauh tapi tak mampu lari …harap2 warm up sikit2 lama2 mampu menggapai langit biru…huhu jingga la dulu…atau ungu
Mei 30, 2008 at 2:10 am |
salam alaik,ummi..
ayt tu pun jd pnguat diri kte msa diuji.. walau x seberat mana.. mmg x berat pun.. cumanya,iman kte yg nipis x mampu nk jd ‘antiseptic’ jiwa.. sungguh ayat2 Allah indah dan memujuk~
xpe.. perkongsian mcm ni pun sgt2 bgs sbb bkn sume org tau web tu (termasuklah kite).. ummi pndidik anak bangsa.. insyaAllah, satu hari nnti, kte ikut jejak ummi tu.. nk jd lecturer jgk.. ummi doakn yea.. ummi kte pon harap kn gitu..
kisah ummi ngan along laa ni kn.. langit ungu, jinga.. hihi.. simbolik betul..
~ceriakn harimu seindah pelangi.. moga senantiasa dlm redho Ilahi~
Mei 30, 2008 at 2:26 pm |
Jazakillahukhairan Jeep, insyaAllah jika ada niat pasti kan tercapai. Ni mungkin terkeluar topik sikit…
Ummi sebelum gi US dulu mmg nak ambil medical dr. kat UKM tapi dipendekkan cerita, dek kerana janji Ummi pada hati dan keinginan Ummi yg melonjak2 nak2 jugak terbang ke awan biru (ye la masa tu org kan tak penah naik kapal terbang …mmg la kelakar …) ) maka pergi juga Ummi ke negara orang tapi sebelum pergi Ummi kata satu hari nanti Ummi akan kembali belajar atau mengajar di UKM ni, yang penting Bangi ini akan jadi kampung Ummi di satu masa dan ketika yang Allah jua kan menentukannya.
Bila balik walaupun tak dapat kerje kat UKM, Ummi beli juga rumah di Bangi tapi ditinggalkan kerana membawa diri dan keluarga ke MRSM Jelebu. Dah tak dapat kerje kat UKM Ummi kerje dulu dengan MARA untuk langsaikan kontrak.
Dipendekkan lagi cerita akhirnya Ummi dapat gak belajar lagi di UKM, bukan medical Dr. tapi tak kisahlah asal dapat berkampung di Bangi. Akhirnya Ummi menjejaki juga menara gading ini yang satu masa dulu bagai mimpi untuk menggapainya…(huhu taklah seindah impian masa kecik2 dulu tapi cukup mendamaikan jika ada matlamat sendiri, tetap, teguh, tsabat) moga Allah permudahkan untuk Ummi selesaikan pengajian ini yang entah di mana penghujungnya, Dia jua yang Maha Mengetahui halatuju ke destinasi kita.
Jadi Jeep pun sama. Kalau nak, usaha tawakkal dan doa. Pasti Allah takkan mengecewakan harapan kita. Antara cepat dengan lambat, dapat dengan tidak itu kita serah pada kebijaksanaanNya menyusun jalan untuk kita kerana hanya Dia yang tahu bagaimana menyelamatkan kita dari bahaya di hadapan agar iman tak tergadai dalam menggapai langit indah. Sama2 kita doakan ye! Moga Allah beri kita kejayaan dunia dan akhirat. Wahaiyiklana min amrina rasyada. Amin ya rabbal alamin.
Mei 31, 2008 at 2:21 am |
salam alaik,ummi..
maaf sbb memulakn pelarian topic.. *blush*
oo.. lame jgk laa ya ummi jd ank MARA.. (off topic lg.. heh~)
moga Allah mudahkn ummi tamatkn pngajian.. ameen~
thnx, bg semangat.. hihi..
usaha.. doa.. tawakal.. ganbatte~~!
~Allah Ta’ala knows best~
Mei 31, 2008 at 3:04 pm |
Jazakillahukhairan kathira.
Dan apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi?