Archive for September 2009

Penyembunyian …

September 26, 2009

Tatkala fitrah kasih dan rindu menebal di kalbu,
harus tergantikan dengan keterbalikan,
maka yang tersisa hanyalah perpisahan.

Walau hakikatnya pemergian itu,
hanyalah satu penyembunyian,
namun ia harus kurelakan.

Ketika fitnah disusuli perbuatan-perbuatan keterbalikan,
harus tersamarkan dengan kata-kata sayang,
yang tersisa hanyalah rasa pilu yang menyakitkan.

Tiap saat terasa sakit yang menusuk jauh ke dasaran
tatkala harus dilemparkan sebuah senyuman
sedang batin diharung tangisan.

Ya Ilahi,
perbaikilah agama kami yang menjadi pemelihara urusan kami
perbaikilah dunia kami yang menjadi tempat hidup kami
perbaikilah akhirat kami yang menjadi tempat kembalinya kami
jadikanlah hidup ini sebagai tambahan kebaikan untuk kami
jadikanlah mati sebagai yang menyenangkan
atau pelindung dari segala kejahatan
– hadith riwayat Muslim

Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan [94:5].
Entah apakah ini yang terbaik buat kita namun kurelakan pemergian itu kerana cukuplah buatku Allah.  Nabi Allah Nuh ditertawakan tatkala membina kapal bagi menghadapi banjir yang dia sendiri tidak tahu akan terjadi.  Begitu juga Nabi Ibrahim tidak tahu apa yang bakal terjadi tatkala dia akur untuk melaksanakan perintah Allah menyembelih anaknya. Maka siapalah diri ini untuk tidak menerima takdir Ilahi. Sungguhpun kenyataan itu pahit namun kuterimanya dengan rela kerana tak mungkin kita boleh tahu apa yang terjadi besok, tapi diri ini tidak pernah lupa bahwa kita selalu bersama Sang Maha Tahu. Dan Dia, akan memberi petunjuk pada hambaNya yang memohon merayu menyandarkan segalanya hanya padaNya.  Wallahu’alam.

Advertisements

Anak Ummi

September 17, 2009

SIAPA dia ANAK-UMMI !!!

1) ANAK-UMMI tu bkn mcm main FUTSAL…
Mula-mula kejar…
dah dapat sepak….

2) ANAK-UMMI tu bkn mcm main SKATE…
Mula-mula gosok…
lepas tu pijak…

3) ANAK-UMMI tu bkn mcm main RAGBI…
Mula-mula tangkap…
dah dapat tendang…

4) ANAK-UMMI tu bknnya mcm PAMPERS…
dah pakai..,
buang…

5) ANAK-UMMI tu bknnya mcm BARANG KEMAS…
Waktu baru beli pakai…
dah sengkek gadai…

6) ANAK-UMMI tu bkn mcm PELANGI…
Hari cerah takde…
hujan gerimis baru muncul…

7) ANAK-UMMI tu bkn mcm KERETA…
Rosak sikit.., jual…
ambik kereta baru…

8) ANAK-UMMI tu bkn mcm CHIPSMORE…
kejap ade…..
kejap takde…

9) ANAK-UMMI tu bkn mcm BANK…
Bila dah takde duit..,
pegi kat sana ambik…

10) lagi….. ANAK-UMMI tu mcm ape ye????

Haa… ANAK-UMMI tu mcm korang LA . . .
bila ummi hantar msg,
korang akan baca msg ummi dgn teliti sampai
habis….dan tersenyum2…

Walau ape pun tanggapan org tentang ANAK-UMMI …
bagi ummi, ANAK-UMMI tu penting.

Seorang UMMI takkan biarkan ANAK dia menangis, sedih, berduka dan sebagainya.

ANAK-UMMI yg sejati adalah seorang yang dapat diajak duduk dan berbincang tentang pelbagai perkara.

Yang penting.., seorang ANAK-UMMI akan sentiasa menghadiahkan senyuman kpd UMMI nya…

ANAK-UMMI Bertemu ;Berpisah dan Bertaut-hati kerana ALLAH

SELAMAT BERPUASA DAN MENGEJAR LAILA QADR
&
SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
Maaf Zahir dan Batin
dari
Ummi dan Abah

Cukuplah Hanya Allah Hati Bergantung dan Berserah Diri

September 11, 2009

Tidak ada gunanya kita mengadu dan bersedih hati, bila kita diuji Allah. Kerana orang-orang yang beriman hanya bersedih bila Allah tidak memandangnya lagi, selagi ada pandangan Allah pada kita, maka syukurilah dengan ujian itu. Itu petanda bahawa Dia amat mengambil berat akan diri kita. Tidak bermakna hilang kasih manusia itu, hilang selamanya. Mungkin ada kasih yang lebih hebat menanti di persada cinta hakiki, yang tidak pernah kita bayangkan di mata dan tidak pula pernah kita kecapinya di kalbu. 

 Tapi ya Allah, insan lemah seperti kami ini amat sukar meninggalkan cinta fatamorgana hinggalah pelangi indah berlalu menghiris dan menghimpit ruang rindu sampai tiada lagi perasaan yang mampu menandingi cinta baru-cinta dunia yang wujud seusai sepah yang dicampak jauh ke dasar lautan. Kami memerlukan kekuatan dariMu tatkala melepaskan pemergian pelangi menjauhi memori perjalanan cinta fatamorgana. Kami memerlukan kekuatanMu Ya Ilahi.

 Kami benar2 ingin mendekatiMu ya Rabb, sedekat-dekatnya. Kami ingin hanya Dikau menjadi tumpuan cinta kami, kami ingin rasa itu menjadi fitrah, mengasihimu setulusnya ya Allah, sedalam-dalamnya. Maka dalam munajat  kami ini ya Allah kami mengadu hanya padaMu kami mohon setitis kasihMu agar Kau sudi menerima tatkala kami datang dekat padaMu, agar Kau sentiasa mengasihi kami.  Dengarkanlah rasa hati kami ya rabbul Jalal.

 Apalah harga dunia jika ditimbangkan dengan setitik kasih sayangMu ya Allah. Hilang nikmat dunia bila datang setitis rahmat dariMu ya Allah. Lebur seluruh dunia, tenggelam dalam cintaMu ya Allah. Teguhkanlah ya Allah cinta kami terhadapMu kerana Kaulah satu-satunya cinta hakiki yang mampu memberikan kami satu episod perjalanan yang sentiasa tenang dan damai,  mohon izinkan hati kami sentiasa terpaut padaMu ya Allah walau kami sering lalai mengungkapkan rasa kasih cinta abadi padaMu ya Allah.   

 Ayat-ayat cinta yang sukar amat kami persembahkan padaMu ya Allah tersemat di jiwa namun bibir kami seakan sukar mengucapkannya kerana rapuhnya iman kami ini ya Allah walau kasih kami padaMu ya Allah merangkumi sepenuh hati kami.  Kami tumpahkan cinta ini hanya padaMu seikhlas dan sejujurnya, kami ingin mendekati diriMu ya Allah sedekat mungkin dan kami amat menyintaiMu ya Allah setulus sehalusnya. Moga hadir nanti insan2 yang mendekati kami kerana kelimpahan kasih kami dan mereka padaMu ya Allah.  Moga hadirnya cinta dalam diri-diri kami sesama insan kelak datang dari keikhlasan cinta kami padaMu ya Allah, moga Kau sudi bila kami ingin dekat dengan diriMu ya Allah.. moga kami menjadi  perantara tumpahnya kasih Allah pada mereka yang kami kasihi…

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam (hati) mereka rasa kasih sayang. (Surah Maryam ayat 19).

 Hasbunalla wanikmal wakil, nikmal maulana waanikman nashir, bila hati gelisah, tak tenang, tak tenteram, bila hatimu goyah, terluka, merana, jauhkan hati ini dari Tuhan dari Allah, hilangkah dalam hati dzikirku, imanku? Hanya dengan Allah hatimu akan tenang.  Dengan mengingat Allah hilanglah segala kegelisahan.  Cukuplah hanya Allah.  Hati bergantung dan berserah diri – Opick: Kembali Pada Allah

 Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.

Allah tahu 1-216

Kalimah Cinta Ilahi Mengingati Peristiwa 09.08.09

September 7, 2009



Pepohon cintaku kian merimbun
Semakin dicantas makin bertunas
Tidak mampu mendustai hatiku
Rasa cinta fitrah manusia

Siapalah aku menolak cinta
Yang hadir di jiwa tanpa dipaksa
Hidup ini tidak akan sempurna
Tanpa cinta dari Tuhan Yang Esa

Adam Hawa bercinta di Syurga
Angkara iblis terpisah menderita
Kerana cinta mereka setia
Bertemu di dunia

Dengan cinta kenal Pencipta
Dengan cinta kenal RasulNya
Kerana cinta kenal saudara
Bahagia keluarga
Oh indahnya cinta

Hidup tanpa cinta
Sengsaralah jiwa
Sengketa dan dusta
yang merajai jiwa

Di batasan cinta syariat terjaga
Tanpa keraguan tanpa kesangsian

Betapa sucinya kasihMu Tuhan
Betapa agungnya kebesaranMu
Diri ini mengharapkan cintaMu
Kekalkanlah rasa kehambaan ku

Album : In-Team’04
Oleh : In-Team
Senilagu : Manis Helma (Hijjaz Records)
Senikata: ITO Lara (Gurindam Entertainment)
Penerbit : Isman Nadim Isam
Program Muzik : Trabye
Hakcipta : Hijjaz Records Sdn. Bhd.

Pesan Ummi:

Kadangkala kita cepat mengucapkan kata,
pada orang yang kata kita, kita sayang.
Tapi kita tidak sedar orang yang kita sayangi itu,
mungkin tidak naive selamanya.
Walau cinta itu buta,
namun dengan mata hati petunjuk Ilahi,
ke’naive‘an itu pasti lenyap pada satu hari.
Kadangkala kita pohon maaf,
dan katakan sedikitpun kita tidak berniat,
untuk menyakiti hati insan yang kita kata kita sayang.
Kadangkala kita cuba lindungi sahabat kita,
yang juga kita sayangi,
namun hakikat cinta itu tidak perlu berkata-kata,
untuk insan yang disayangi itu,
merasai tulusnya cintamu.
Tidak juga perlu mengatakan,
kita yang bersalah atas apa yang telah berlaku,
kerana orang yang disayangi itu,
pasti tahu jika benar kita rasa bersalah,
atau sahabat yang kita lindungi itu,
benar-benar rasa bersalah,
tatkala ia sudi memandang mata,
orang yang kamu sayangi.
Kerana kalimah cinta itu,
turun dari mata ke hati.
Maka itulah luka yang ditusuk cinta itu,
lukanya terpanah di hati,
menusuk hingga ke dalam kalbu.
Maka usahlah sayang,
diungkapkan lagi kata-kata manis,
tanpa rasa secukupnya di dalam hati,
kerana hakikat cinta tak perlu diungkapkan.
Cinta yang tulus akan terpahat di hati.
Ungkapannya dari mata ke hati.
Bukan sekadar dari bibir ke telinga.
Usahlah diungkapkan kata kita rasa bersalah.
Kerana cinta sudah memadai untuk kita menjalinkan ukhuwah,
jika benar apa yang diperkatakan.
Semuanya pasti terserlah dengan perlakuan.
Pasti mata hati ini dapat membaca,
merasai bahagia cinta yang membawa kepada yang Esa.

mother_childYa Allah ampunilah dosa2ku, kedua orang tuaku, suami dan anak-anakku.  Ya Allah, masukkanlah kami dengan pintu kebenaran dan keluarkanlah kami dengan pintu kebenaran.  Ya Allah kurniakanlah kami ilmu, hikmah, rezeki dan kekuasaan yang membantu.  Ya Allah bimbinglah kami dan anak-anak kami yang masih belum mengerti dan ampunilah mereka.   Thabbit quluubana ‘ala deenik.  Wahai yik lana min amrina rasyada.  Ya Allah akhir kalam doa ini ya Allah, bak kata orang tua2, dapat gading bertuah tanduk dilupakan.  Jauhkanlah kami dari sifat yang sedemikian samada secara kami sedari atau tidak ya Allah.  Ya Allah, janganlah Kau biarkan kami membuat keputusan tanpa redhaMu ya Allah, janganlah Kau tinggalkan kami walau sesaat cuma.  Kami al-faqir ilaAllah.  Kami hanya insan hina tanpaMu.  Kami yang memerlukanMu ya Allah, memohon ehsanMu, peliharalah keluarga kami dan saudara sahabat anak-anak didik serta kenalan kami ya Allah.  Kau Maha Kaya Maha Pemurah Maha PEnyayang.  Perkenankanlah permintaan hambumu yang hina ini.

Rahmat Allah

September 6, 2009

“Ummi!”

Dalam lautan manusia di perkarangan mesjid UIAM seusai solat terawih, Ummi mengambil air teh dan biskut kelapa bawah tangga laluan muslimat.  Tiba2 terdengar suara girang memanggil nama Ummi.  Suara lelaki tu?!

Ya!  Memang suara lelaki yang Ummi kenali.   Allah Maha Besar.  Baru saja menyebut2 namanya dalam ingatan di kotak minda ummi.  Tatkala itu Ummi mengadap kurma dan carrot cake pemberian PakCik Bakar semalam di bilik Ummi di G3.18.  Tatkala teringat akan suami dan anak2 lebih2 lagi angah dan kakngah kerana sama2 berada di UIAM sewaktu iftar petang tadi.  Pun kerana dah 3X plan nak iftar dengan mereka di UIAM ni tapi belum berkesempatan, kerana jadual masing2 tak mengizinkan lagi.  Kakngah takde exam lagi esok tapi bangah ada lagi esok katanya.

Tapi Allah Maha tau kan?  Walau semalam telah dapat beberapa minit bersua muka dengannya sewaktu menghantar makanan dari rumah Pakcik Bakar hari ini Allah telah memperkenankan kita bersua muka lagi.  Syukur. Kalau difikirkan memang dengan tiada janji tiada sms tiada hp tak mungkin boleh jumpa dalam lautan manusia ni.  Tapi itulah yang dikatakan rahmat Allah.

nasi goreng bungkusTak lama kemudian kakngah turun.  Selepas bersalaman umi sedar lampu Kancil tak padam bila angah tanya ummi park kat mana.  Terus ummi menuju kereta selepas bersalaman sekali lagi ngan angah.  By the time umi patah balik mereka dah tiada.  Semoga Allah permudahkan dan beri mereka kefahaman mentelaah dan mengulangkaji untuk exam esok.  Umi pun park di hadapan kedai depan mesjid tu, order nasi goreng biasa bungkus dan makan dalam kereta separuh, separuh lagi simpan untuk sahur.

Malam ini cabaran semakin banyak yang harus diselesaikan.  Moga Allah sentiasa bersama abah, anak2 dan Ummi.  Wahaiyiklana min amrina rasyada. Thabbit quluubana ‘ala deenik.  Amin.

Ummi al-fakir ilaAllah.  Allah is enough for me.  Cukup buatku Allah.

Kurma dan Carrot Cake Santapan Iftar

September 6, 2009

kurmaHari ini umi cuba siapkan kerja di mahallah saja.  Tak pergi ke INSTED rasa macam rugi lak masa nak setup balik komputer kat sana nanti.  Jika mengikut perancangan, esok boleh balik iftar jamai’e dengan anak2 dan abah di rumah. Jumaat hari tu umi buka dengan maggie dan kopi je tak ada kurma.  Semalam alhamdulillah abah dan anak2 jemput umi di INSTED, UIAM untuk ifttar di rumah kawan abah, Bakar di Taman Ibu Kota, Gombak.

carrot cakeMurah rezeki pula dapat bawa balik bekalan untuk sahur keluarga dirumah, untuk untuk umi di mahallah ruqayyah dan angah di mahallah zubair lagi.  Pakcik Bakar suruh bawakan untuk angah  yang tengah pulun study di mahallah Zubair.  Pada angah umi berikan  sekotak berisi sebungkus satay + kuah, 2 bungkus karipap, lauk sebungkus untuk sahur, buah lai sebiji dan sebungkus tembikai.  Umi pula bawa balik mahallah sekeping mertabak untuk sahur dan sebungkus kurma dan carrot cake untuk iftar hari ini.  Teringat pada kakngah, tadi nak jemput iftar tapi bangah kata kakngah baru abes exam tak sempat nak bersiap.  Bangah pun tak jadi pergi nak study banyak lagi.  Rasanya bangah pasti tak sempat nak hantar pada kakngah sebab katanya baru habis satu subjek, banyak lagi nak kene stay up studi.  Tapi takapela nanti kakngah abes exam mungkin dia boleh berjumpa kita, kata angah cuti panjang nanti mereka balik Bangi pula.  Apapun Syukur alhamdulillah.

Lepas maghrib nanti Umi ke mesjid solat isyak dan terawih.  Ada rezeki mungkin jumpa angah di sana.  Kakngah masih sibuk dengan examnya kata angah, jadi sejak 4 hujung minggu di UIAM ni belum ada rezeki jumpa kakngah. InsyaAllah mereka habis exam jumaat ni.  Umi minta angah sampaikan pd kakngah bahawa PostGraduate program umi akan buat iftar hari terakhir Jumaat ni sebelum kami balik cuti.  Semua postgrad dijemput datang dengan seisi keluarga.  Ummi dah ajak abah dan anak2 datang, angah pun umi dah bagitau, harap mereka dah habis exam gak masa tu boleh angah bawa kakngah sekali iftar sekeluarga dengan rakan2 postgrad umi di ruang legar mesjid UIAM masuk ikut laluan dekat library.  Kita merancang, Allah jua menentukan.  Jika ada rezeki pasti Allah ketemukan kita semula.

Salam Iftar,

Ummi, al-fakir ilaAllah.

hmm..dah buka.  alhamdulillah ade sikit kuah mertabak semalam belum basi lagi.  Roti keras french loaf pun ada sebuku, lega sikit perutku.   Manis2 tadi sekadar membuka selera.  Roti dan kuah kari semalam memenuhi kekosongan yang ada. Ada air mineral tapi nak kene buat juga kopi secangkir.  Dua bab lagi kene habis untuk boleh balik esok.  Allah Maha Besar, Terima kasih atas segala nikmatmu ya Allah.  Alhamdulillah ya Allah

Adik sayang umi

September 3, 2009

balik dari terawih rasa nak tengok cerita tentang kesah anak dan ibu, ingat nak cari nur kasih tapi bila goggle “bila umi marah”,  terjumpa lak novel ni, layan jugak…dari http://forum.tentangcinta.com

adik sayang umi… – 07-25-2009, 09:03 PM

Malam telah larut. Diluar, hujan masih lebat membasahi bumi. Kedinginan mencengkam hingga ke tulang hitam. Aishah masih seperti tadi. Dia menyendiri dalam kedinginan, memerhati kearah kerlipan cahaya neon yang berbalam didalam hujan. Jalur-jalur air yang menitis, turun memanjang dipermukaan tingkap menjadi santapan matanya. Sesekali jemari halusnya mencorakkan tulisan dan lukisan pada wajah cermin yang berkabus kerana cuaca yang sejuk.

Waktu adik kecil-kecil dulu, kalau hujan sahaja, pasti umi akan datang mencarinya. Pastinya umi akan eratkan dakapan selimut tebal ketubuhnya. Tatkala guruh dan kilat bersabung dilangit, umi tak pernah lekang mendakapnya hangat, mencairkan ketakutan yang membeku dalam dirinya. Tiba-tiba dia disapa rindu yang teramat. Umi, adik rindu.

Aishah menarik langsir menutupi ruang jendela. Dia merapati meja tulis, pena yang terbaring diatas meja dicapai. Diloretkan diatas kertas kajang berwarna biru, warkah terakhir untuk umi. Disuarakan segala yang bersarang dilubuk hati. Rasanya, dia tak sempat menyampaikan hajat umi. Terlalu hampir rasanya dirinya dengan noktah kehidupan.

************************************************** ****************************

“Adik jangan takut, umi ada sini, adik tidur baik-baik ya,” kucupan hangat dari bibir umi melekat didahinya.

Ketakutan yang beraja telah berjaya umi hambat. Dia lena dalam dakapan kasih seorang umi. Dia lena hingga matahari mula menyuluh alam, dia terjaga bila titis embun mula mengering dihujung daun.

“Umi tu selalu sangat manjakan adik, bila lagi dia nak berdikari?” paginya yang ceria kembali suram tatkala mendengar kata-kata along. Dia hanya mematikan diri diatas tangga, menanti bait-bait ayat yang bakal dibahaskan berkenaan dirinya.
“Adik tu kan kecil lagi, tak salah umi temankan dia,”sambil sibuk menyediakan sarapan untuk abah, along, angah dan adik, umi tetap melayan along bersembang.
“Kecil apa umi, dah tingkatan 1, dah besar,” sampuk angah.

Dia perhatikan sahaja dari anak tangga, betapa along dan angah manja dilayan abah dan umi. Rasa lapar adik hilang, terbantut langkah adik untuk menyertai mereka.

“Adik, mari cepat, kejap lagi bas sekolah sampai,” umi menggamit adik dengan senyum manis. Langkah adik agak perlahan, adik tidak sanggup menghadap rezeki dengan rasa benci dari orang semeja.

07-30-2009, 09:49 PM

Adik meneruskan pengajian adik, matlamat adik hanya satu, adik nak lulus. Adik nak hadiahkan kejayaan adik untuk umi. Satu-satunya insan dimuka bumi ini yang sudi mengasihi adik seikhlas-ikhlasnya. Adik selalu diserang asma, tapi adik biarkan. Adik tidak mahu khabarkan pada umi, adik tak mahu umi susah hati. Kepala adik pun selalu sakit, adik diamkan juga. Bagi adik, adik sakit kepala kerana migraine, kerana terlalu banyak membaca, kerana adik gila study. Adik pendamkan rasa sakit dan adik hanya akan menelan panadol, selebihnya, adik jadikan umi sebagai penawar segala penyakit. Adik akan call umi, bercerita dengan umi, adik akan luahkan segala rasa kasih adik atas muka kertas, adik coretkan betapa bahagia adik ditanah Sintok ini.

Segala khabar adik adalah yang indah-indah dan baik-baik belaka. Adik mahu umi senang hati, adik mahu umi bahagia. Adik bariskan pelbagai alasan bila umi tanya kenapa adik tak balik bercuti. Adik senaraikan aktiviti yang adik kena ikuti untuk menambah point permarkahan gred adik. Umi memujuk adik untuk pulang sehari dua. Adik berjanji akan pulang, adik akan pulang juga satu hari nanti. Umi hanya perlu tunggu. Kesakitan adik rasanya telah meruncing. Dihari akhir peperiksaan terakhir, adik pengsan dalam dewan peperiksaan. Adik dikejarkan kehospital. Adik didapati menghidap barah, peringkat akhir. Adik minta doctor rahsiakan, adik merayu doctor agar jangan diberitakan perkara tersebut kepada ahli keluarga. Adik akan khabarkan sendiri berita itu pada mereka. Adik sebenarnya tak mahu umi menangis lagi. Cukuplah tangisan umi yang lepas-lepas sewaktu mempertahankan adik dirumah itu. Adik tak mahu umi terluka lagi.

Pada umi, adik memberitahu, adik dapat tawaran kerja yang baik dibumi Kedah. Adik akan balik bila ada cuti, ada sendu pada suara umi. Maafkan adik umi, adik sebenarnya kena menjadi tetamu hospital. Adik harus menjalani rawatan. Adik tak mahu umi lihat badan adik yang susut, adik tak mahu umi menangis melihat kesan jarum suntikan dilengan adik. Adik tak mahu melihat umi sedih. Adik harus kuat menghadapi derita ini, kerana itu adik tak mahu melihat derai air mata umi, kerana air mata umi hanya akan merobohkan kekuatan adik.

07-31-2009, 11:08 PM

Assalamua’laikum,

Buat tatapan umi yang tercinta,

Umi, terlebih dahulu, ampunkan adik kerana tidak dapat berjumpa dengan umi seperti yang umi hajatkan. Adik tetap pulang, cuma pulang dengan jasad, tanpa roh dan nyawa. Kesatlah air mata tu umi, adik tak tahan tengok umi menangis. Umi sayang adikkan, umi jangan marah adik kerana tidak pulang kepangkuan umi dengan segera.

Umi, maafkan adik kerana tidak memberitahu perkara sebenar dari awal. Adik tak mahu, dengan pendedahan penderitaan penyakit ini, along dan angah akan menuduh adik sengaja memancing perhatian abah dan umi.

Umi, adik terlalu rindukan umi. Adik rindu kucupan hangat umi, adik rindu untuk tidur dalam dakapan kasih umi. Adik rindu untuk menatap wajah bersih umi, senyum manis umi, adik rindu belaian lembut umi.

Umi, adik sakit. Adik terlalu derita umi. Perit umi, adik dah tak tahan lagi. Ubat yang doctor bagi pahit, tak seenak masakan umi, tak sesedap kuih tepung pelita kegemaran adik yang umi selalu buatkan. Pagi tadi, adik pergi hospital lagi, doctor beri adik suntikan, hancur lengan adik dengan tosokan jarum, umi. Adik ingin menangis, adik ingin merayu kepada doctor agar jangan cucuk tubuh badan adik. Adik tak sanggup lagi. Telah bertiub darah dari urat adik doctor ambil.Kalau masa kecil dulu, umi ada untuk tuamkan lebam dilengan adik, kini adik sendiri, menghadapi segalanya seorang. Memang patut pun begitukan umi, bukankah adik sebenarnya hanya sendirian dimuka bumi ini. Bukankah dari awal lagi adik telah terbuang, adik tidak diterima sesiapa.

Umi, adik ingin meminta pertolongan umi. Adik tahu, hanya pada umi adik dapat hamparkan secebis harapan. Adik tak punya sesiapa, adik hanya ada umi. Satu-satunya insan yang adik sayang, yang adik kasih dan adik junjung cinta hingga kehujung nyawa adik.

Umi, minta adik, sampaikanlah salam adik, salam penuh kasih sayang, salam yang sarat dengan penghargaan dan terima kasih, buat abah, along dan angah.

Umi, khabarkan pada mereka, adik terlalu kasihkan mereka. Beritakan pada mereka, adik tidak pernah menyimpan sebarang dendam atau rasa marah dihujung hati ini terhadap mereka. Yang ada dalam hati adik, hanya rasa kasih, sayang dan cinta yang tak pernah padam walaupun telah ditiup dengan pelbagai tohmahan, tuduhan, hinaan dan kebencian. Adik tetap anak umi yang umi susukan sejak kecil, adik tetap adik yang pemaaf, pengasih dan penyayang.

Umi, jelaskan pada mereka, adik telah ampunkan segala ketelanjuran mereka, samada bicara atau perbuatan mereka terhadap adik. Adik faham, kehadiran adik telah merampas kemakmuran dan kebahagiaan mereka. Adik mengerti, perbuatan mereka didorong rasa terancam dengan kehadiran adik.

Umi, katakan pada abah, adik terlalu menghormatinya. Tanpa abah adik tak akan belajar sampai pandai.Cuma, adik tak sempat menghadiri konvokesyen, adik tak sempat mendengar ucapan yang teramat adik rindu dari bibir abah, ‘tahniah adik’. Adik harap abah akan tetap ucapkan tahniah, walau tanpa adik didepan abah. Tanpa abah, adik tidak mampu berdikari diatas kaki sendiri. Hulurkan salam peluk cium dari adik untuk abah. Sujud sembah ampun adik untuk abah, rayulah bagi pihak adik umi, agar abah halalkan segala makan, minum dan perbelanjaan abah dalam membesarkan adik.

Umi, adik terlalu sakit umi. Setiap hari adik pohon dalam doa, agar Allah leraikan penderitaan ini. Adik tak lupa juga panjatkan dalam doa adik, agar Allah pelihara umi, abah, along dan angah. Adik minta Allah berkati hidup kita sekeluarga. Adik memohon agar andai nyawa yang dipinjamkan diambil semula, biarlah ada orang yang sudi hulurkan walau hanya sepotong ayat Al-Quran untuk adik. Rayu adik pada umi, hadiahkanlah surah yassin untuk adik. Mesti adik akan senyum, adik pasti bahagia walau adik pergi dalam derita yang teramat. Adik suka dengar suara umi melagukan bacaan Al-Quran. Adik tenang mendengar setiap kalimah yang umi baca. Adik akan terus rindukan suara umi yang lemak merdu itu. Tolong ya umi, sampaikan pada abah, along dan angah, hadiahkanlah adik bacaan yassin, adik tak minta banyak. Tak perlu keluarkan wang, tak perlukan tenaga yang banyak, sikit aje adik minta, minta dengan penuh harap, hadiahkan lah adik dengan sesuatu yang adik suka.

Umi, adik rasa Allah sayangkan adik. Mungkin hari ini, Allah akan makbulkan doa adik. Mungkin hari ini adalah pengakhiran derita adik. Allah akan mansuhkan penyakit adik umi. Adik pernah bermohon, andai kematian adalah pengakhiran derita ini, adik sedia menerima. Adik sedia pergi dulu walaupun usia adik masih muda. Adik sedia meninggalkan muka bumi ini walaupun adik masih belum puas bermanja dengan umi. Lagipun, tiada siapa yang akan meratap pemergian adik nanti. Yang adik pasti, hanya umi seorang yang akan merasa kehilangan adik. Umi seorang yang akan bersedih dengan pemergian adik. Tapi, adik yakin, sedih umi hanya sekejap. Kepiluan umi akan terubat dengan adanya abah, dengan kehadirang along dan angah dalam hidup umi. Pastinya warna kehidupan umi indah, ceria walau tanpa adik.

Umi, dipengakhiran warkah ini, adik dengan rasa rendah diri, dengan penuh kasih, memohon ampun dan maaf dari umi. Adik pinta halalkan seawal titis susu yang umi suapkan hinggalah segala apa yang adik makan atau minum. Setiap kelakuan adik, setiap kesilapan, pinta adik, ampunkanlah. Rayu adik pada umi, sayangilah adik walau adik telah tiada. Pada abah, along dan angah jua, maaf adik pinta, dari hujung bilah rambut hingga kehujung jari kaki, sepuluh jari adik susun, relakan pemergian adik. Jangan ada sebarang kesalan, jangan simpan rasa kecewa dalam hati. Biarlah apa yang terjadi, dibawa angin lalu, yang lepas biar jadi sejarah.Terima kasih yang tak terhingga kepada umi dan abah kerana sudi mengasuh adik, walaupun ibu kandung adik sendiri menolak kehadiran adik dibumi ini. Hanya Allah yang akan membalas jasa umi dan abah. Adik redha dengan ketentuan yang diturunkan Allah ini. Segalanya punya hikmah yang tersembunyi.

Umi, sayang rasanya untuk pergi, ralat rasanya tidak dapat menatap wajah umi sebelum adik berangkat. Teringin sangat adik mendakap tubuh umi, mencium seluruh wajah umi. Izinkan umi, adik mengucup tangan dan wajah umi dalam hayalan….

Umi, abah, along dan angah, adik minta izin untuk pergi. Lambaian akhir ini, adik harap sudi disambut oleh kalian. Jangan iringi jasad adik dengan air mata. Rugi membazir air mata untuk seorang anak dan adik yang tak pernah bersinar dalam keluarga. Iringilah adik dengan doa agar adik tidak dicampak kedalam relung panas menyambar, InsyaAllah.

Salam kasih, salam penuh kecintaan untuk umi tersayang, abah, along dan angah terkasih, ampun kan adik, redhalah dengan takdir ilahi. Assalamua’laikum.

-suara hati adik-
Nur Aishah Abdullah.

08-02-2009, 09:32 PM

tak, ada lagi…

Air mata umi luruh, laju membasahi seluruh wajah. Umi kesal, kerana tidak dapat mendakap Aishah. Umi tak dapat penuhi impian dan permintaan terakhir adik, anak umi yang amat jarang membuat permintaan.

Abah hanya kaku disisi umi, air mata abah yang mengalir, telah membuktikan yang abah turut terasa pemergian Aishah. Tapi abah tau, abah telah terlewat. Kali ini, adik pergi bukan dekat, kalau kehujung dunia pun adik membawa diri, abah masih boleh mencari, boleh memujuk agar adik pulang kerumah, tapi, perjalanan adik kali ini jauh, terlalu jauh untuk abah jejak. Penyesalan abah tidak berguna. Abah menyesal hanya setelah adik tiada, abah terjaga hanya setelah mendengar suara hati adik.

Along dan angah turut menangis. Mereka kesal, hati selembut dan sebaik adik tidak sepatutnya dirobekkan. Adik tidak pernah mengharapkan apa-apa, mahalkah harga sebuah kasih sayang?

Jenazah adik yang baru tiba, umi mandikan, umi kapankan. Umi bersihkan seluruh tubuh adik, penuh kasih, umi cium ubun-ubun adik. Itulah kucupan terakhir umi. Umi tahu adik dapat merasa kasih sayang yang keluar dari seluruh hati, urat dan jantung umi. Umi mahu adik tahu umi terlalu kasihkan adik, walau adik bukan lahir dari rahim umi. Adik, Nur Aishah Abdullah, adalah anak umi dunia akhirat. Khidmat terakhir umi untuk adik telah umi laksanakan. Umi sedekahkan bacaan Surah Yassin sepeti yang adik minta, walau tidak dimintapun, umi tetap akan lagukan bacaan itu untuk adik. Umi ingin adik ditempatkan didalam syurga bersama dengan anak-anak solehah yang lain. Umi iringi pemergian adik kepusara aman dengan pandangan mata yang masih berkaca. Bibir umi terkumat-kamit beristighfar, memujuk hati agar tidak menangis. Umi tak mahu adik melihat umi menangis, umi mahu adik pergi dengan tenang. Adik, umi sayang adik, sebagaimana dalamnya kasih sayang adik buat umi.

sekian…