Adik sayang umi

balik dari terawih rasa nak tengok cerita tentang kesah anak dan ibu, ingat nak cari nur kasih tapi bila goggle “bila umi marah”,  terjumpa lak novel ni, layan jugak…dari http://forum.tentangcinta.com

adik sayang umi… – 07-25-2009, 09:03 PM

Malam telah larut. Diluar, hujan masih lebat membasahi bumi. Kedinginan mencengkam hingga ke tulang hitam. Aishah masih seperti tadi. Dia menyendiri dalam kedinginan, memerhati kearah kerlipan cahaya neon yang berbalam didalam hujan. Jalur-jalur air yang menitis, turun memanjang dipermukaan tingkap menjadi santapan matanya. Sesekali jemari halusnya mencorakkan tulisan dan lukisan pada wajah cermin yang berkabus kerana cuaca yang sejuk.

Waktu adik kecil-kecil dulu, kalau hujan sahaja, pasti umi akan datang mencarinya. Pastinya umi akan eratkan dakapan selimut tebal ketubuhnya. Tatkala guruh dan kilat bersabung dilangit, umi tak pernah lekang mendakapnya hangat, mencairkan ketakutan yang membeku dalam dirinya. Tiba-tiba dia disapa rindu yang teramat. Umi, adik rindu.

Aishah menarik langsir menutupi ruang jendela. Dia merapati meja tulis, pena yang terbaring diatas meja dicapai. Diloretkan diatas kertas kajang berwarna biru, warkah terakhir untuk umi. Disuarakan segala yang bersarang dilubuk hati. Rasanya, dia tak sempat menyampaikan hajat umi. Terlalu hampir rasanya dirinya dengan noktah kehidupan.

************************************************** ****************************

“Adik jangan takut, umi ada sini, adik tidur baik-baik ya,” kucupan hangat dari bibir umi melekat didahinya.

Ketakutan yang beraja telah berjaya umi hambat. Dia lena dalam dakapan kasih seorang umi. Dia lena hingga matahari mula menyuluh alam, dia terjaga bila titis embun mula mengering dihujung daun.

“Umi tu selalu sangat manjakan adik, bila lagi dia nak berdikari?” paginya yang ceria kembali suram tatkala mendengar kata-kata along. Dia hanya mematikan diri diatas tangga, menanti bait-bait ayat yang bakal dibahaskan berkenaan dirinya.
“Adik tu kan kecil lagi, tak salah umi temankan dia,”sambil sibuk menyediakan sarapan untuk abah, along, angah dan adik, umi tetap melayan along bersembang.
“Kecil apa umi, dah tingkatan 1, dah besar,” sampuk angah.

Dia perhatikan sahaja dari anak tangga, betapa along dan angah manja dilayan abah dan umi. Rasa lapar adik hilang, terbantut langkah adik untuk menyertai mereka.

“Adik, mari cepat, kejap lagi bas sekolah sampai,” umi menggamit adik dengan senyum manis. Langkah adik agak perlahan, adik tidak sanggup menghadap rezeki dengan rasa benci dari orang semeja.

07-30-2009, 09:49 PM

Adik meneruskan pengajian adik, matlamat adik hanya satu, adik nak lulus. Adik nak hadiahkan kejayaan adik untuk umi. Satu-satunya insan dimuka bumi ini yang sudi mengasihi adik seikhlas-ikhlasnya. Adik selalu diserang asma, tapi adik biarkan. Adik tidak mahu khabarkan pada umi, adik tak mahu umi susah hati. Kepala adik pun selalu sakit, adik diamkan juga. Bagi adik, adik sakit kepala kerana migraine, kerana terlalu banyak membaca, kerana adik gila study. Adik pendamkan rasa sakit dan adik hanya akan menelan panadol, selebihnya, adik jadikan umi sebagai penawar segala penyakit. Adik akan call umi, bercerita dengan umi, adik akan luahkan segala rasa kasih adik atas muka kertas, adik coretkan betapa bahagia adik ditanah Sintok ini.

Segala khabar adik adalah yang indah-indah dan baik-baik belaka. Adik mahu umi senang hati, adik mahu umi bahagia. Adik bariskan pelbagai alasan bila umi tanya kenapa adik tak balik bercuti. Adik senaraikan aktiviti yang adik kena ikuti untuk menambah point permarkahan gred adik. Umi memujuk adik untuk pulang sehari dua. Adik berjanji akan pulang, adik akan pulang juga satu hari nanti. Umi hanya perlu tunggu. Kesakitan adik rasanya telah meruncing. Dihari akhir peperiksaan terakhir, adik pengsan dalam dewan peperiksaan. Adik dikejarkan kehospital. Adik didapati menghidap barah, peringkat akhir. Adik minta doctor rahsiakan, adik merayu doctor agar jangan diberitakan perkara tersebut kepada ahli keluarga. Adik akan khabarkan sendiri berita itu pada mereka. Adik sebenarnya tak mahu umi menangis lagi. Cukuplah tangisan umi yang lepas-lepas sewaktu mempertahankan adik dirumah itu. Adik tak mahu umi terluka lagi.

Pada umi, adik memberitahu, adik dapat tawaran kerja yang baik dibumi Kedah. Adik akan balik bila ada cuti, ada sendu pada suara umi. Maafkan adik umi, adik sebenarnya kena menjadi tetamu hospital. Adik harus menjalani rawatan. Adik tak mahu umi lihat badan adik yang susut, adik tak mahu umi menangis melihat kesan jarum suntikan dilengan adik. Adik tak mahu melihat umi sedih. Adik harus kuat menghadapi derita ini, kerana itu adik tak mahu melihat derai air mata umi, kerana air mata umi hanya akan merobohkan kekuatan adik.

07-31-2009, 11:08 PM

Assalamua’laikum,

Buat tatapan umi yang tercinta,

Umi, terlebih dahulu, ampunkan adik kerana tidak dapat berjumpa dengan umi seperti yang umi hajatkan. Adik tetap pulang, cuma pulang dengan jasad, tanpa roh dan nyawa. Kesatlah air mata tu umi, adik tak tahan tengok umi menangis. Umi sayang adikkan, umi jangan marah adik kerana tidak pulang kepangkuan umi dengan segera.

Umi, maafkan adik kerana tidak memberitahu perkara sebenar dari awal. Adik tak mahu, dengan pendedahan penderitaan penyakit ini, along dan angah akan menuduh adik sengaja memancing perhatian abah dan umi.

Umi, adik terlalu rindukan umi. Adik rindu kucupan hangat umi, adik rindu untuk tidur dalam dakapan kasih umi. Adik rindu untuk menatap wajah bersih umi, senyum manis umi, adik rindu belaian lembut umi.

Umi, adik sakit. Adik terlalu derita umi. Perit umi, adik dah tak tahan lagi. Ubat yang doctor bagi pahit, tak seenak masakan umi, tak sesedap kuih tepung pelita kegemaran adik yang umi selalu buatkan. Pagi tadi, adik pergi hospital lagi, doctor beri adik suntikan, hancur lengan adik dengan tosokan jarum, umi. Adik ingin menangis, adik ingin merayu kepada doctor agar jangan cucuk tubuh badan adik. Adik tak sanggup lagi. Telah bertiub darah dari urat adik doctor ambil.Kalau masa kecil dulu, umi ada untuk tuamkan lebam dilengan adik, kini adik sendiri, menghadapi segalanya seorang. Memang patut pun begitukan umi, bukankah adik sebenarnya hanya sendirian dimuka bumi ini. Bukankah dari awal lagi adik telah terbuang, adik tidak diterima sesiapa.

Umi, adik ingin meminta pertolongan umi. Adik tahu, hanya pada umi adik dapat hamparkan secebis harapan. Adik tak punya sesiapa, adik hanya ada umi. Satu-satunya insan yang adik sayang, yang adik kasih dan adik junjung cinta hingga kehujung nyawa adik.

Umi, minta adik, sampaikanlah salam adik, salam penuh kasih sayang, salam yang sarat dengan penghargaan dan terima kasih, buat abah, along dan angah.

Umi, khabarkan pada mereka, adik terlalu kasihkan mereka. Beritakan pada mereka, adik tidak pernah menyimpan sebarang dendam atau rasa marah dihujung hati ini terhadap mereka. Yang ada dalam hati adik, hanya rasa kasih, sayang dan cinta yang tak pernah padam walaupun telah ditiup dengan pelbagai tohmahan, tuduhan, hinaan dan kebencian. Adik tetap anak umi yang umi susukan sejak kecil, adik tetap adik yang pemaaf, pengasih dan penyayang.

Umi, jelaskan pada mereka, adik telah ampunkan segala ketelanjuran mereka, samada bicara atau perbuatan mereka terhadap adik. Adik faham, kehadiran adik telah merampas kemakmuran dan kebahagiaan mereka. Adik mengerti, perbuatan mereka didorong rasa terancam dengan kehadiran adik.

Umi, katakan pada abah, adik terlalu menghormatinya. Tanpa abah adik tak akan belajar sampai pandai.Cuma, adik tak sempat menghadiri konvokesyen, adik tak sempat mendengar ucapan yang teramat adik rindu dari bibir abah, ‘tahniah adik’. Adik harap abah akan tetap ucapkan tahniah, walau tanpa adik didepan abah. Tanpa abah, adik tidak mampu berdikari diatas kaki sendiri. Hulurkan salam peluk cium dari adik untuk abah. Sujud sembah ampun adik untuk abah, rayulah bagi pihak adik umi, agar abah halalkan segala makan, minum dan perbelanjaan abah dalam membesarkan adik.

Umi, adik terlalu sakit umi. Setiap hari adik pohon dalam doa, agar Allah leraikan penderitaan ini. Adik tak lupa juga panjatkan dalam doa adik, agar Allah pelihara umi, abah, along dan angah. Adik minta Allah berkati hidup kita sekeluarga. Adik memohon agar andai nyawa yang dipinjamkan diambil semula, biarlah ada orang yang sudi hulurkan walau hanya sepotong ayat Al-Quran untuk adik. Rayu adik pada umi, hadiahkanlah surah yassin untuk adik. Mesti adik akan senyum, adik pasti bahagia walau adik pergi dalam derita yang teramat. Adik suka dengar suara umi melagukan bacaan Al-Quran. Adik tenang mendengar setiap kalimah yang umi baca. Adik akan terus rindukan suara umi yang lemak merdu itu. Tolong ya umi, sampaikan pada abah, along dan angah, hadiahkanlah adik bacaan yassin, adik tak minta banyak. Tak perlu keluarkan wang, tak perlukan tenaga yang banyak, sikit aje adik minta, minta dengan penuh harap, hadiahkan lah adik dengan sesuatu yang adik suka.

Umi, adik rasa Allah sayangkan adik. Mungkin hari ini, Allah akan makbulkan doa adik. Mungkin hari ini adalah pengakhiran derita adik. Allah akan mansuhkan penyakit adik umi. Adik pernah bermohon, andai kematian adalah pengakhiran derita ini, adik sedia menerima. Adik sedia pergi dulu walaupun usia adik masih muda. Adik sedia meninggalkan muka bumi ini walaupun adik masih belum puas bermanja dengan umi. Lagipun, tiada siapa yang akan meratap pemergian adik nanti. Yang adik pasti, hanya umi seorang yang akan merasa kehilangan adik. Umi seorang yang akan bersedih dengan pemergian adik. Tapi, adik yakin, sedih umi hanya sekejap. Kepiluan umi akan terubat dengan adanya abah, dengan kehadirang along dan angah dalam hidup umi. Pastinya warna kehidupan umi indah, ceria walau tanpa adik.

Umi, dipengakhiran warkah ini, adik dengan rasa rendah diri, dengan penuh kasih, memohon ampun dan maaf dari umi. Adik pinta halalkan seawal titis susu yang umi suapkan hinggalah segala apa yang adik makan atau minum. Setiap kelakuan adik, setiap kesilapan, pinta adik, ampunkanlah. Rayu adik pada umi, sayangilah adik walau adik telah tiada. Pada abah, along dan angah jua, maaf adik pinta, dari hujung bilah rambut hingga kehujung jari kaki, sepuluh jari adik susun, relakan pemergian adik. Jangan ada sebarang kesalan, jangan simpan rasa kecewa dalam hati. Biarlah apa yang terjadi, dibawa angin lalu, yang lepas biar jadi sejarah.Terima kasih yang tak terhingga kepada umi dan abah kerana sudi mengasuh adik, walaupun ibu kandung adik sendiri menolak kehadiran adik dibumi ini. Hanya Allah yang akan membalas jasa umi dan abah. Adik redha dengan ketentuan yang diturunkan Allah ini. Segalanya punya hikmah yang tersembunyi.

Umi, sayang rasanya untuk pergi, ralat rasanya tidak dapat menatap wajah umi sebelum adik berangkat. Teringin sangat adik mendakap tubuh umi, mencium seluruh wajah umi. Izinkan umi, adik mengucup tangan dan wajah umi dalam hayalan….

Umi, abah, along dan angah, adik minta izin untuk pergi. Lambaian akhir ini, adik harap sudi disambut oleh kalian. Jangan iringi jasad adik dengan air mata. Rugi membazir air mata untuk seorang anak dan adik yang tak pernah bersinar dalam keluarga. Iringilah adik dengan doa agar adik tidak dicampak kedalam relung panas menyambar, InsyaAllah.

Salam kasih, salam penuh kecintaan untuk umi tersayang, abah, along dan angah terkasih, ampun kan adik, redhalah dengan takdir ilahi. Assalamua’laikum.

-suara hati adik-
Nur Aishah Abdullah.

08-02-2009, 09:32 PM

tak, ada lagi…

Air mata umi luruh, laju membasahi seluruh wajah. Umi kesal, kerana tidak dapat mendakap Aishah. Umi tak dapat penuhi impian dan permintaan terakhir adik, anak umi yang amat jarang membuat permintaan.

Abah hanya kaku disisi umi, air mata abah yang mengalir, telah membuktikan yang abah turut terasa pemergian Aishah. Tapi abah tau, abah telah terlewat. Kali ini, adik pergi bukan dekat, kalau kehujung dunia pun adik membawa diri, abah masih boleh mencari, boleh memujuk agar adik pulang kerumah, tapi, perjalanan adik kali ini jauh, terlalu jauh untuk abah jejak. Penyesalan abah tidak berguna. Abah menyesal hanya setelah adik tiada, abah terjaga hanya setelah mendengar suara hati adik.

Along dan angah turut menangis. Mereka kesal, hati selembut dan sebaik adik tidak sepatutnya dirobekkan. Adik tidak pernah mengharapkan apa-apa, mahalkah harga sebuah kasih sayang?

Jenazah adik yang baru tiba, umi mandikan, umi kapankan. Umi bersihkan seluruh tubuh adik, penuh kasih, umi cium ubun-ubun adik. Itulah kucupan terakhir umi. Umi tahu adik dapat merasa kasih sayang yang keluar dari seluruh hati, urat dan jantung umi. Umi mahu adik tahu umi terlalu kasihkan adik, walau adik bukan lahir dari rahim umi. Adik, Nur Aishah Abdullah, adalah anak umi dunia akhirat. Khidmat terakhir umi untuk adik telah umi laksanakan. Umi sedekahkan bacaan Surah Yassin sepeti yang adik minta, walau tidak dimintapun, umi tetap akan lagukan bacaan itu untuk adik. Umi ingin adik ditempatkan didalam syurga bersama dengan anak-anak solehah yang lain. Umi iringi pemergian adik kepusara aman dengan pandangan mata yang masih berkaca. Bibir umi terkumat-kamit beristighfar, memujuk hati agar tidak menangis. Umi tak mahu adik melihat umi menangis, umi mahu adik pergi dengan tenang. Adik, umi sayang adik, sebagaimana dalamnya kasih sayang adik buat umi.

sekian…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: