DAKWAH MASYARAKAT DAN DAKWAH KELUARGA: GARIS MENGEKAL KONSISTENSI DARI ASPEK HABLUMMINALLAH DAN HABLUMMINANNAS

Semua aspek ibadah yang dilaksanakan dalam program bersama ahli jemaah dan masyarakat biarlah konsisten dilaksanakan juga di rumah bersama keluarga atau dalam lingkungan individu itu sendiri tatkala tinggal bersendirian.   Berdasarkan dalil dakwah itu wajib sudah jelas kita perlu berdakwah. Ini adalah kerana selepas kejatuhan khilafah Turki Uthmaniyah.kita perlu bangun semula untuk menegakkan Islam dari segenap lapisan bermula daripada i) Individu Muslim, ii) Baitul Muslim, iii) Rakyat Muslim, iv) Daulah Islamiyah dan v) Khilafah Islamiyah.

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar[217]; merekalah orang-orang yang beruntung. 

(Surah Ali Imran: 104).

‘Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)’.

(Surah Ali Imran: 110).

Kita harus berusaha menjaga hati ibu bapa dan keluarga SAMA dengan usaha menjaga hati mad’u, ahli usrah, ahli jemaah dan masyarakat  dari pelbagai aspek:

  • Keikhlasan dan kerelaan dalam menyumbang tenaga

Jika untuk program jemaah kita boleh pergi awal dan balik lewat semata-mata untuk menjalankan tugas sebagai ahli jemaah membantu menyediakan jamuan dan membantu mengemas untuk menjaga maslahat ukhuwah maka di rumah lebih2 lagi.  Jika ada yang membasuh pinggan atau masak bantulah mengemas halaman atau lain-lain perkara yang boleh dibantu atau berlumba2lah untuk mendahului orang lain menyediakan makanan tanpa dikejut atau diminta dengan bangun lebih awal. PASTIkan kita bukan sekadar menyediakan makanan tetapi sebagaimana kita sanggup balik lambat dalam program jemaah untuk mengemas dan seumpamanya begitu jugalah di rumah.  Jangan sampai perkakasan dapor yang kita guna ditinggalkan begitu sahaja dan bekas-bekas makanan basi ditinggalkan di atas meja seusai makan untuk orang lain pula menyumbang tenaga mereka hanya kerana kita telah menyediakan makanan.  Jika kita ikhlas dan faham, kitalah yang perlu menunjukkan contoh yang baik.  Jangan berkira tenaga dengan adik-beradik dan ibu bapa sendiri sebagaimana kita dengan rela hati sentiasa bersedia bila-bila masa apabila pihak kepimpinan meminta kita menyumbang tenaga dengan kerja dakwah.  Kalau dalam jemaah sebilangan besar tanggungjawab kita yang buat kerana kita lebih mahir dalam sesuatu bidang misalnya produksi video dan seumpamanya maka apa salahnya jika di rumah walaupun adik-beradik lain melepak, jika kita tidak pandai mengagihkan tugas antara ahli-ahli keluarga yang lain, kita sendiri yang menyelesaikan tugas dengan tujuan menunjukkan contoh yang baik.  Lakukanlah dengan ikhlas pasti keikhlasan kita tercermin dan lambat-laun niat ikhlas kita akan menyentuh hati mereka yang cuba kita sendtuh dalam kalangan keluarga sendiri seperti mana kita beria-ia mengambil hati mad’u dengan cuba menyentuh hati mereka.  Lebih baik dari itu jika kita dapat mengajak mereka sama-sama melaksanakan sesuatu tugasan agar ukhuwah terbina.  Jangan sampai ibu bapa balik dari bekerja mereka juga akhirnya terpaksa menyelesaikan semak-samun di rumah.  Kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihani kamu sewaktu kamu kecil.  Perkara kecil seperti ini adalah juga dakwah melalui contoh yang baik kepada ahli keluarga. Dakwah ini adalah proses tarbiyyah diri kita sendiri dan juga untuk keluarga.  Jika tertib dakwah di ikuti, adab-adab di fahami, setiap sunnah di hayati, dalam rumah agama di hiasi dan hidup beragama setiap hari sama ada dalam keluarga mahupun di luar sana tatkala bermasyarakat, insya-Allah akhlaq ahli keluarga akan di perbaiki dan kita bakal melahirkan sifat sayang menyayangi, akhlak terpuji yang seterusnya akan membentuk umat yang berbakti.  Selagi hayat di kandung badan, cinta Allah terpahat di hati, syurga menjadi destinasi, insya-Allah kita bukan saja bakal mendapat ketenangan dan kebahagiaan di dunia hidup dalam keluarga yang harmoni tetapi insya-Allah akan bahagia di akhirat yang kekal abadi. Itulah janji Illahi, Rabbul Jalil.

  • Keikhlasan dan kerelaan membelanjakan wang ringgit

Hisab diri apa yang telah kita buat dalam program dan tanya diri adakah kita telah berusaha melaksanakan perkara yang sama di rumah atau dengan keluarga?  Sanggupkah kita korbankan masa dan wang ringgit untuk maslahat usrah keluarga seperti mana kita korbankan wang ringgit untuk program dan sumbangan bulanan kepada jemaah dan ahli usrah serta mad’u kita?  Jika jawapannya “situasi berlainan kerana adik-adik di rumah tak mahu ikut program…” tanya kembali kepada diri sendiri berapa kali telah kita ajak ahli keluarga ikuti program 5X, 10X, 15X, 30X?  Jika tidak sampai pun kepada angka-angka itu, kita harus berusaha lebih keras memahami JALAN DAKWAH. Baca buku DAKWAH FARDHIAH, JALAN DAKWAH dan seumpamanya.  Hayati dan amalkan apa yang kita tahu bermula dengan diri dan keluarga dahulu.  Itu menunjukkan keikhlasan dalam berdakwah kerana mengikut tertib jalan dakwah jika tidak kita hanya sekadar untuk memperlihatkan kehebatan beragama dalam kalangan ahli jemaah, ahli usrah dan mad’u.  Membaca dan mencari ilmu bukan sekadar untuk menjadikannya bahan kita berhujah atau untuk menunjukkan kehebatan ilmu kita semasa menyampaikan tazkirah dan seumpamanya.

Rasulullah berdakwah kepada kaum kerabatnya dahulu dan dalam masa yang sama berdakwah juga kepada masyarakat sekeliling.  Keluarga merupakan sokongan yang kuat untuk kita terus berdakwah sebenarnya. Jadi, perseimbangan antara tanggungjawab dakwah dengan urusan keluarga amatlah dituntut.  Sebagai da’i yang memiliki kesedaran yang mendalam tentang tanggungjawab, kita mestilah mengatur kehidupan kita agar seimbang.  Keluarga tidak harus diabaikan kerana dakwah. Begitu juga sebaliknya dakwah tidak harus dikorbankan kerana sibuk melayani anak isteri, adik-beradik dan ibu bapa.  Kita mesti memahami keutamaan bagi setiap perkara, masa dan keadaan. Ketika adik-adik dan anak-anak masih kecil, tumpuan mesti diberikan kepada mereka, didik dan beri tarbiyyah supaya mereka menjadi pelapis yang bakal meneruskan risalah. Bukan mendidik dan mentarbiyyah adik-beradik yang kecil dan mudah diajak sahaja tetapi semua adik-adik remaja.  Cuba pelbagaikan strategi dan jangan mudah jemu dengan sekadar 10x ajakan yang tidak diterima.  Mungkin masa dan keadaan semasa ajakan pertama kedua dan kesepuluh itu tidak sesuai, mana tahu dengan doa dan hidayah dari Allah ajakan kesebelas dia dalam dilemma memilih jalan yang benar atau kufur dan kita tidak mengajaknya berada di atas jalan yang benar.  Apakah yang akan kita jawab kepada Allah nanti bila di akhirat beliau menyatakan bahawa beliau memilih jalan kufur kerana abangnya tidak mengajaknya lagi untuk sama-sama berada di atas jalan yang benar?

Sungguhpun demikian, dalam masa yang sama kita tidak boleh meninggalkan medan dakwah sepenuhnya atas alasan mendidik anak atau mentarbiyyah ahli keluarga khususnya adik-beradik yang bermasalah.  Tindakan ini akan membawa kerugian kepada kita dari segi pendedahan, pengalaman dan pahala.  Dalam membuat pengimbangan antara kegiatan dakwah dan urusan keluarga, kita mestilah benar-benar mengetahui tahap kemampuan optimum yang mampu diberikan kepada kegiatan dakwah dan kita juga mesti benar-benar tahu tahap optimum urusan keluarga yang boleh dikongsi dengan kegiatan dakwah.  Kita mesti tahu tahap yang kalau diabaikan tanggungjawab terhadap tarbiyyah ahli keluarga sehingga akan menyebabkan kemudaratan. Misalnya jika saban minggu kita ada program jemaah dan kita telah buat perancangan minggu ini untuk program besar2an di salah sebuah masjid kawasan berdekatan bersama ahli jemaah, tiba-tiba ibu bapa kita ajak balik kampung “mungkin kata ayahnya yang akan menjalani pembedahan jantung pada minggu hadapan bahawa  ini mungkin kali terakhir mereka akan iftar bersama”, maka seharusnya perasaan ibu bapa tatkala itu harus diutamakan walaupun sekilas lalu nampak urusan balik kampung berbanding dengan agenda iftar jamaei solah-olah terlalu remeh untuk dilayan.  Dengan tidak melayani permintaan itu yang bukannya selalu diminta oleh ibu dan ayah, hanya sekadar sekali sahaja dalam tempoh lebih setahun kita telah menghiris hati mereka sedalam-dalamnya.  Memang mereka sentiasa memafkan tetapi tahukan apa implikasi tatkala bercucuran air mata ibu dalam perjalanan ke kampung tanpa kia bersama pada hari itu.  Apakah pandangan Allah terhadap kita yang sanggup melukkan hati ibu bapa hanya kerana kita ingin iftar bersama jemaah kerana program itu program hebat semua ahli jamaah yg hebat akan hadir dan imam palestin akan mengimamkan solat walhal setiap tahun imam palestin akan datang mengimamkan solat di Malaysia ttp tahun depan mungkin kita tidak berpeluang iftar sekeluarga dengan mengumpulkan semua yg ada di Malaysia begini lagi.  Dalam pada itu kita juga mesti tahu tahap kegiatan dakwah yang kalau ditinggalkan akan memudaratkan dakwah. Dalam menentukan kedua-dua tahap ini kita mesti jujur terhadap diri kita, keluarga dan dakwah yang dipikul. Pertimbangan juga akan dipengaruhi bantuan dan kerjasama suami, isteri, ibu atau bapa jika kita masih tinggal bersama mereka.  Jika harus keluar rumah, mintalah izin dari ibu bapa atau sekurang-kurangnya maklumkan kepada ibu atau bapa ke mana kita pergi.  Janganlah bersangka buruk kepada mereka bahawa mereka akan menghalang kerja dakwah kita.  Bukan kita saja yang faham.  Mereka mungkin tidak aktif seperti kita ttp mereka faham juga tanggungjawab dan kewajipan berdakwah.  Sentiasa bersangka baik kepada ibu bapa kita insya-Allah pasti satu hari dakwah kita akan seiring dengan jalan yang mereka telah rentas sejak kita kecil lagi.  Kita kadangkala tidak akui tarbiyyah kita dapat ini dimulakan oleh mereka bila kita terlalu taksub dengan pimpinan jemaah semasa.  Sejahil-jahil ibu bapa kita tidak mungkin mereka tidak pernah mendidik kita sehingga apa yang ada pada kita pada masa ini.  Mereka tidak minta wang ringgit dan harta dari kita.  Mereka saban hari mendoa dan memafkan apa jua kesalahan kita.  Apalah salahnya kita menghormati mereka.  Jika tidak mahu ajak mereka ikuti program umum yang sedang kita tujui ajaklah anak-anak mereka yang lain iaitu adik-beradik kita sendiri.  Usahlah malu dengan keadaan keluarga sendiri kerana hakikat itu tidak mungkin terhapus sekiranya kita sendiri tidak menggilap permata dalam pasir di keliling kita.  Akhir kata hayatilah catatan ilmu yang dikutip dari bahan-bahan berikut buat pedoman dalam berdakwah untuk keluarga.  Wallauhu’alam fissawab, yang baik itu dari Allah segala kesilapan dari diri yang lemah lagi daif ini.

Tinta Ummi

 

Allah ta^ala berfirman:

يأيها الذين ءامنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارًا وقودها الناس والحجارة

Mafhumnya: “Wahai orang-orang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu” [Surah al-Tahrim, ayat 6].

Al-Imam Abu`l-Hasan ‘Ali ibn Ahmad al-Wahidi dalam kitabnya al-Wajiz fi Tafsiri`l-Qur’ani`l-‘Aziz mentafsirkan: “Wahai orang-orang yang beriman! Berilah peringatan buat diri kamu sendiri dan ahli keluarga kamu tentang perkara yang boleh mendekatkan diri kepada rahmat Allah dan jauhilah diri kamu dan ahli keluargamu dari perkara dosa”.
Al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani dalam kitab tafsirnya al-Tafsiru`l-Munir mentafsirkan: “Wahai orang-orang beriman! Ajarkanlah diri kamu sendiri, isteri kamu, anak-anak kamu tentang kebaikan dan didiklah dengan cara menyuruh mereka melakukan kebaikan dan mencegah mereka dari melakukan kejahatan. Dengan itu, kamu akan memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari neraka”.
Al-Hafiz ‘Abdu`Llah al-Harari al-Habashi dalam kitabnya al-Siratu`l-Mustaqim berkata: “Pentafsiran ayat ini ialah bahawa Allah memerintahkan orang-orang yang beriman agar memelihara diri mereka sendiri dan ahli keluarga mereka dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu dengan cara mempelajari perkara agama dan mengajarkannya kepada keluarga mereka; iaitu mempelajari dan mengajar pengetahuan tentang perkara yang telah difardukan oleh Allah untuk melakukan segala yang wajib dan meninggalkan segala yang haram. Ini supaya tidak terjerumus kepada akidah sesat dan kufur seperti pegangan tashbih dan tamthil (menyamakan Allah dengan makhluk).  Ini kerana orang yang menyamakan Allah dengan sesuatu yang lain adalah ibadahnya tidak sah. Dia sebenarnya menyembah sesuatu yang dikhayalkan.  Al-Imam al-Ghazali berkata: “Ibadah itu tidak sah melainkan selepas mengenali Allah yang disembah”[1].
Al-Hafiz ‘Abdu`Llah al-Harari berkata dalam kitabnya Bughyatu`t-Talib berkenaan maksud ayat di atas: “.  Jika dia seorang yang alim maka wajib ke atasnya mengajar keluarganya atau membenarkan mereka belajar dengan seseorang yang boleh mengajar. Ketika itu dia diharamkan untuk menghalang keluarganya dari keluar kerana belajar. Hatta isteri pun tidak boleh dihalang oleh suaminya dari keluar untuk belajar sekiranya suaminya bukanlah orang alim tentang perkara tersebut atau suaminya seorang yang alim tentang perkara itu tetapi dia mencuaikan tanggungjawab mengajar dan tidak pula membawa orang yang boleh mengajar isterinya”…..”Barangsiapa yang mempelajari ilmu agama yang bersifat daruri[2] (fardu ain) dan mengajar keluarganya maka sebenarnya dia telah memelihara dirinya dan keluarganya dari neraka Jahanam. Barangsiapa yang tidak berbuat demikian maka sebenarnya sedang menghancurkan dirinya dan keluarganya”.

Pengajaran: 

*Memelihara diri dan ahli keluarga dari azab neraka adalah wajib.
*Menuntut ilmu agama yang bersifat daruri adalah wajib ke atas setiap muslim.
*Antara tanggungjawab suami terhadap isteri dan anaknya ialah mengajar ilmu agama terutama dan pertamanya ilmu akidah.
*Suami yang mengajar agama kepada isteri dan anaknya adalah suami yang penyayang.
*Suasana pengajaran dan pembelajaran ilmu agama dalam rumahtangga akan mengerat dan memurnikan ikatan kasih sayang kekeluargaan.
*Perbuatan menghalang seseorang dari menuntut ilmu adalah perbuatan yang tercela.
*Perbuatan membiarkan keluarga dalam kejahilan membawa penderaan yang sangat dahsyat di dalam neraka.
*Jalan mudah untuk ke syurga ialah jalan menuntut ilmu agama.

_____________________________________________________
[1]Pentafsiran oleh al-Hafiz ^Abdu`Llah al-Harari dan al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani berdasarkan tafsiran Sayyidina ^Ali ibn Abi Talib yang telah diriwayatkan oleh al-Hakim dalam kitabnya al-Mustadrak jil. 2, hlm. 494. Al-Hafiz al-Harari berkata dalam kitabnya al-Sharhu`l-Qawim bahawa tafsiran ini datang daripada Sayyidina ^Ali ibn Abi Talib dengan isnad qawiyy.
[2] Suatu kadar ilmu agama yang diketahui oleh semua meliputi orang awam dan para ulama.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: