Perbendaharaan segala sesuatu ada pada Kami. Kami tidak menurunkannya kecuali dengan ukuran tertentu.
(al-Hijr [15:21])

Salah satu perkara yang terkandung dalam ayat al-Quran di atas adalah satu jelmaan dari  nama Allah Al-Adl (Yang Maha Adil) iaitu Nama Tuhan Yang Maha Agung atau salah satu daripada enam cahaya-Nya yang terkandung di dalam nama-Nya yang Teragung al-lsmul A’zhom. Ia menjadi jelas kepadaku dari kejauhan ketika aku berada di Penjara Eskişehir. Untuk lebih mudah difahami, kami akan menjelaskannya melalui perumpamaan:

Alam ini ibarat istana.  Di dalam istana terdapat sebuah bandar yang sedang mengalami pergolakan di mana berlaku secara silih berganti keruntuhan dan pembangunan semula. Di bandar tersebut terdapat sebuah kerajaan yang di dalamnya peperangan dan penghijrahan berlaku terus-menerus. Di sisi kerajaan itu ada sebuah dunia besar yang penuh dengan kehidupan dan  kematian. Walaupun berbagai keadaan huru-hara berlaku di dalamnya, namun keseimbangan  yang menakjubkan, kestabilan yang baik mendominasi istana, bandar dan dunia menunjukkan transformasi dan proses keluar masuk dalam keadaan yang seimbang sepanjang masa bila diukur dengan neraca timbangan milik satu kuasa besar yang dapat melihat dan mentadbir seluruh alam semesta.

Jika sebaliknya berlaku, iaitu jika pelbagai penyebab lain yang bebas dan tidak terikat, merosakkan keseimbangan yang ada, misalnya seekor ikan  menghasilkan ribuan telor, sekuntum bunga popi menghasilkan lebih dari dua puluh ribu benih, perubahan besar yang ganas seberti banjir besar, atau  sesuatu yang  terjadi begitu sahaja, tanpa tujuan, secara kebetulan tanpa matlamat, kuasa radikal yang buta serta kejadian alam yang gelap tanpa sedar,  nescaya kestabilan segala makhluk dan keseimbangan alam semesta akan menjadi rosak, susunan yang sempurna dalam masa setahun bahkan dalam sehari pun segalanya boleh menjadi kacau-bilau. Lautan akan dipenuhi dengan sampah-sarap dan kotoran serta bangkai sehingga berbau busuk dan tidak dapat dikawal. Udara akan tercemar dengan gas-gas beracun dan berbahaya. Bumi pula, akan menjadi seperti tempat pembuangan sampah dan rumah sembelihan dengan takungan lumpur.  Dunia akan menjadi lemas.

Perhatikanlah segala kejadian dari sel-sel pada rongga badan hingga sel-sel darah merah dan putih.  Transformasi pergerakan atom, keharmonian pertalian antara organ-organ tubuh, sehinggakan pasang surutnya air laut, dengan modal dan hasil pada musim bunga di bumi ini, kelahiran haiwan dan tumbuhan, kematiannya di musim luruh dan kehidupan semula di musim bunga, tugas dan pergerakan berbagai unsur dan  bintang hingga pergantian hidup dan mati, cahaya dan kegelapan, panas dan dingin ke semuanya disusun dan ditimbang dengan neraca yang luar biasa ketepatannya.  Begitu teliti pengukurannya sehinggakan akal manusia tak dapat melihat sebarang kejadian atau sisa yang tidak ada gunanya atau tercipta dengan sia-sia.  Bahkan sains kemanusiaan dan falsafah adalah interpretasi dan ekspresi dari susunan dan keseimbangan tersebut.

Perhatikanlah keseimbangan menakjubkan antara matahari dan dua belas planetnya. Tidakkah itu menunjukkan dengan jelas dan terang seperti sinar matahari terhadap  kewujudan  Allah Yang Maha Agung di mana Dia merupakan Dzat Yang Maha Adil dan Maha Berkuasa? Khususnya perhatikanlah kapal kita iaitu planet Bumi sebagai salah satu planet. Ia bergerak pada orbitnya setiap tahun sejauh perkiraan 24 ribu tahun dengan kelajuan yang dahsyat namun tetap tidak menyelerakkan atau menggoncang segala benda yang tersimpan dengan susunan yang rapi di atasnya serta tidak juga melemparkan benda-benda itu ke angkasa. Seandainya kecepatannya bertambah atau berkurang sedikit sahaja, nescaya ia akan melemparkan penghuninya ke serata angkasa. Andaikata keseimbangannya lari walau seminit mahupun sedetik cuma, pasti ia akan menghancurkan dunia ini. Bahkan, planet-planet mungkin akan berlanggaran dan kiamat pun akan tiba.

Khususnya perhatikan keseimbangan menakjubkan yang penuh rahmat di muka bumi ini.  Kelahiran, kematian, kehidupan dan nyawa  empat ratus ribu jenis spesies tumbuhan dan haiwan. Hal ini jelas menunjukkan bukti keberadaan Allah Yang Maha Adil dan Maha Penyayang seterang sinar mentari yang menjadi bukti akan keberadaan matahari.

Selanjutnya perhatikan organ-organ makhluk hidup yang tak terhitung jumlahnya. Lihat dengan teliti bahagian-bahagian tubuh dan panca indera yang dimilikinya. Kesemuanya mempunyai pertalian antara satu sama lain yang halus keseimbangan dan kesesuaiannya menghasilkan keselarasan yang sempurna menunjukkan bukti keesaan Allah Dzat Yang Maha Adil dan Maha Bijaksana.

Lalu perhatikanlah sel-sel dan salur darah dalam anggota tubuh haiwan.  Perhatikan sel-sel di dalam saluran darah, serta atom-atom yang ada di dalam sel-sel tersebut. Kesemuanya sangat halus dan sensitif dengan keseimbangan yang menakjubkan justeru terbukti susun atur yang menyeluruh, serta pemeliharaan dan pentadbiran yang mempunyai pertimbangan yang tepat, undang-undang dan peraturan yang dikendalikan oleh Pencipta Yang Maha Esa, Yang Maha Adil, dan Maha Bijaksana. Di tangan-Nya tergenggam kekuasaan terhadap segala sesuatu. Pada-Nya ada kunci perbendaharaan segala sesuatu. Tidak ada yang tersembunyi dari-Nya. Dia mengelola segala sesuatu yang banyak dengan sangat mudah seperti mengelolakan satu pengelolaan.

Bagi mereka yang tidak yakin dan tidak percaya bahawa segala perbuatan jin dan manusia akan ditimbang dengan neraca keadilan Ilahi pada hari kiamat nanti, mereka boleh melihat keseimbangan agung yang jelas di hadapan mereka di dunia ini.  Pasti ketidakyakinan mereka itu akan lenyap.

Wahai manusia yang boros, tidak berhemah, yang membuat aniaya, tidak adil, kotor, tidak bersih dan lalai!  Oleh kerana kamu tidak bertindak berdasarkan keperluan ekonomi, tidak bersih dan tidak adil seperti prinsip pergerakan seluruh alam dan entitinya, maka kamu menjadi sebab kemurkaan alam semesta yang jijik dengan sikapmu. Apa sandaranmu sehingga kamu  membuat seluruh entiti alam menjadi murka dengan pembaziran dan kezalimanmu yang melampaui batas tanpa mempedulikan keseimbangan dan kebersihan yang ada?  Ya, hikmah kebijaksanaan Tuhan yang bersifat umum yang merupakan salah satu jelmaan nama al-Hakim bergerak atas sifat berjimat-cermat dan tidak berlebihan mahupun membazir. Bahkan Dia memerintahkan sikap berhemah itu.

Keadilan menyeluruh di alam ini yang berasal dari jelmaan nama al-Adl mengatur keseimbangan segala sesuatu.  Lalu manusia dikehendaki bersikap adil.  Sebutan kalimah “mizan” (neraca keseimbangan) dalam surat ar-Rahman sebanyak empat kali menunjukkan adanya empat jenis neraca dalam empat tingkatan.  Ia juga merupakan penjelasan mengenai kepentingan dan keperluan mendesak neraca keseimbangan tersebut di alam ini. Hal itu terdapat dalam ayat yang berbunyi:

Dan langit telah ditinggikan-Nya dan Dia menciptakan neraca keseimbangan agar kamu jangan merosakkan neraca keseimbangan itu; dan tegakkanlah keseimbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca keseimbangan itu

(Ar-Rahman [55: 7-9])

Sebagaimana tidak ada pemborosan dalam segala sesuatu, kezaliman dan ketidakseimbangan pun tidak ada pada segala sesuatu. Pembersihan dan kebersihan yang bersumber dari manifestasi agung nama al-Quddus membersihkan segala sesuatu dan memperindahnya. Justeru, selagi tangan kotor manusia tidak menyentuhnya, tidak akan dapat ditemui kekotoran dan keburukan di dalamnya .

Dari sini kita dapat memahami bagaimana prinsip keadilan, sikap berhemah dan berjimat cermat serta kebersihan yang merupakan hakikat al-Qur’an dan prinsip Islam menjadi dasar kepada kehidupan masyarakat. Dari sini kamu dapat mengetahui betapa rapatnya hubungan antara hukum-hukum alam dengan peraturan dari  al-Qur’an, yang tersebar luas mengakar di serata alam sehingga mustahil untuk memusnahkan hakikat tersebut  sebagaimana mustahilnya untuk memusnahkan alam ini dan merubah bentuknya.

Ratusan hakikat kebenaran yang merangkumi alam semesta seperti tiga cahaya agung misalnya belas kasihan, rahmat, dan kelestarian alam  mengharuskan adanya kebangkitan dan hari akhirat. Pelbagai hakikat yang bersifat menyeluruh seperti rahmat, kasih sayang, keadilan, hikmah, sifat berhemah, berjimat-cermat dan menjaga kebersihan dalam mengawasi alam semesta dan penghuninya, akan berubah kepada keburukan dan  kezaliman tanpa kebijaksanaan dan kebersihan sehingga segalanya menjadi sia-sia sekiranya tiada hari akhirat dan kebangkitan semula.

Nauzubillah, seribu kali nauzubillah! Kasih sayang dan kebijaksanaan Tuhan yang telah melindungi hak hidup nyamuk kecil dengan kasih sayang-Nya yang luas tidak mungkin menafikan hak-hak yang tidak terbilang bagi segala para makhluknya yang begitu banyak tak terkira dengan tiadanya hari kebangkitan.  Keagungan rububiyah Tuhan telah memperlihatkan sebuah ketelitian yang luar biasa tentang rahmat, kasih sayang, keadilan, dan kebijaksanaan.  Uluhiyah-Nya merangkumi segala sesuatu dengan kesempurnaan-Nya yang ingin diperlihatkan, diperkenalkan, dan dicintai dengan cara menghiasi alam dengan berbagai ciptaan menakjubkan dan nikmat yang yang melimpah. Jika demikian, mungkinkah rububiyah dan uluhiyah-Nya yang agung itu membiarkan ketiadaan hari kebangkitan sehingga menjatuhkan nilai kesempurnaan-Nya dan nilai seluruh makhluk-Nya? Allah Maha Mulia untuk terkait dengan hal seperti itu semua. Keindahan Mutlak jelas tidak akan rela dikaitkan dengan keburukan mutlak seperti ini.

Ya, orang yang hendak menafikan hari akhirat mesti terlebih dahulu menafikan kewujudan dunia dan  segala hakikat yang ada di dalamnya. Jika tidak, maka alam semesta dengan keseluruhan hakikat yang ada akan  mendustakannya melalui ratusan ribu lisan untuk membuktikan orang tadi sebagai pendusta yang amat jahat. Dengan berbagai bukti meyakinkan, Risalah al-Hasyr (Risalah Tentang Kebangkitan) telah menegaskan bahawa kewujudan hari akhirat merupakan sesuatu yang pasti dan tidak diragukan lagi, sama seperti kewujudan dunia ini.

Tinggalkan komen