[Noktah ini menunjukkan satu aspek maksud nama Allah Al-Hakam (Yang Maha Bijaksana). Nama ini menjelaskan salah satu maksud daripada ayat di atas iaitu Nama Tuhan Yang Maha Agung atau salah satu daripada enam cahaya-Nya yang terkandung di dalam nama-Nya yang Teragung al-lsmul A’zhom.  Noktah ketiga ini mengandungi tiga perkara yang terilham kepadaku pada bulan Ramadhan di Penjara Eskişehir lalu aku terus menulisnya. Penulisannya dibuat segera dan kekal dalam bentuk asalnya tanpa disunting]

PERTAMA

Seperti yang kami sebutkan dalam Kalimat Kesepuluh, jelmaan agung dari nama al-Hakam meletakkan alam ini seperti sebuah buku. Dalam setiap lembaran muka suratnya terdapat ratusan buku.  Pada setiap baris pada lembaran itu terdapat ratusan muka surat.  Pada setiap perkataannya terdapat ratusan baris.  Pada setiap huruf terdapat ratusan perkataan.  Pada setiap isi ada indeks ringkasnya untuk buku. Setiap helaian muka surat buku, semua baris, bahkan semua titiknya menunjukkan kewujudan Pengarang dan Penulisnya dengan begitu jelas sekali.  Kitab alam yang agung ini menjadi saksi kewujudan dan keesaan-Nya, jauh melebihi tanda-tanda  kewujudan dirinya sendiri. Ini adalah kerana, jika sebuah huruf menunjukkan kewujudannya setara satu huruf, pada masa yang sama ia mengungkapkan sifat-sifat Penulisnya setara satu baris.

Ya, satu halaman pada lembaran buku alam ini adalah satu hamparan pada muka bumi. Lembaran tersebut berisi buku-buku sejumlah jenis tumbuhan dan haiwan yang dapat dilihat pada musim bunga dengan sangat sempurna tanpa ada satu kesalahan pun.  Tulisannya saling berkait antara satu dengan yang lain pada waktu yang sama.

Setiap baris pada lembaran itu adalah sebuah taman.  Di dalamnya kita dapat melihat kumpulan gubahan puisi.  Puisi-puisi ditulis sejumlah bunga, pohon dan haiwan yang saling berkait antara satu baris dengan yang lainnya tanpa ada kesalahan sedikit pun.

Setiap untaian kata pada setiap bait dan baris puisi adalah pohon yang tumbuh dengan daun-daunnya yang tersusun antara putik-putik yang yang bakal menghasilkan buahnya.  Untaian kata itu menggambarkan bait-bait puisi yang bermakna yang menggambarkan ekspresi pujian dan rasa syukur terhadap kewujudan Dzat Yang Maha Bijaksana sebanyak susunan dedaun, bunga-bungaan serta buah-buahan yang indah mempesonakan, teratur dan seimbang. Sama seperti pepohon lain, pohon tersebut adalah untaian bait indah yang sedang mengalunkan segala pujian kepada Tuhan Yang Maha Mulia.  Seolah-olah Dzat Yang Maha Bijaksana lagi Maha Agung itu ingin memperlihatkan keindahan ciptaan dan keajaiban makhluk yang Dia hamparkan di bumi ini melalui ribuan mata.

Raja Agung yang Kekal Abadi menganugerahkan hadiah yang dihias indah dengan susunan dan perhiasan berharga kepada pepohon memberikan mereka rupa yang indah, susunan yang seimbang, serta bentuk yang penuh hikmah untuk diperlihatikan kepada-Nya pada musim bunga di hari perayaan dan perarakan umum.  Pada hari itu setiap bunga dan buah menjadi saksi dalam pelbagai cara dan pembuktian.  Setiap satunya menjadi saksi atas kewujudan Tuhan Yang Maha Pencipta serta menjadi bukti atas nama-nama-Nya yang mulia.

Misalnya, pada setiap bunga yang mekar dan buah terdapat keseimbangan. Keseimbangan itu berada dalam satu aturan. Aturan tersebut berada dalam susunan dan penyeimbangan yang senantiasa diperbaharui. Aturan dan penyeimbangan itu bergerak dalam bentuk seni yang indah.  Hiasan seni yang indah itu  berada dalam aroma wangi penuh makna dengan rasa yang penuh hikmah.  Justeru, setiap bunga menjadi isyarat atas kewujudan Dzat Yang Maha Agung lagi Bijaksana sebanyak bilangan bunga yang mekar pada pohon tersebut.

Dalam pohon yang diibaratkan sebagai perkataan, buahnya diibaratkan sebagai huruf-huruf, ada benih buah yang diibaratkan sebagai titik-titik huruf yang mengandungi kotak berisi indeks dan daftar lengkap pelan kehidupan kerjayanya.  Dan begitulah seterusnya. Menggunakan analogi yang sama, dengan jelmaan manifestasi berbagai cahaya dari nama al-Hakim al-Hakam (Dzat Yang Maha Bijaksana lagi Maha Menentukan) jika  pohon ini diibaratkan sebagai kitab alam semesta – bukan sahaja baris tetapi setiap huruf dan titik – adalah mukjizat yang mengagumkan. Bahkan jika semua kuasa bergabung untuk mencipta sesuatu sepertinya, mereka tidak akan dapat mencipta  sebutir titik pun sepertinya.  Malah mereka tidak  mampu memberi hujah untuk menentang hakikat itu pun.

Ya, setiap tanda kekuasaan yang terdapat pada al-quran atau kitab alam semesta ini mempamerkan mukjizat sebanyak jumlah titik dan huruf yang ada di dalamnya. Oleh yang demikian, tidak mungkin dikelirukan hukum kebetulan, kuasa alam yang buta,  tanpa matlamat, anarki, tidak sedar ikut mencampuri hikmah, keseimbangan dan aturan serta susunan yang sangat  sensitif.  Jika mereka ikut campur pasti akan ada tanda-tanda yang mengelirukan dan jelas cacat-celanya.  Padahal tiada sebarang kekurangan di mana-mana jua pun.

KEDUA

Topik pertama: Seperti yang telah dijelaskan dalam Kalimat Kesepuluh, ada prinsip dasar yang mengatakan bahawa keindahan yang sempurna dan kesempurnaan yang indah itu mahu memperlihatkan keindahan dan kesempurnaan-Nya.  Atas dasar itu, Tuhan Pencipta yang Maha Kekal, Penulis buku alam semesta ini memperkenalkan, dan mendekatkan keindahan kesempurnaannya yang mempesona untuk  dicintai melalui buku alam semesta dan lembaran-lembarannya, baris serta huruf malah titik-titiknya melalui lisan segala makhluk.  Iaitu dari sekecil-kecil makhluknya sehinggalah yang paling besar agar Dia dikenali dan kesempurnaan-Nya diketahui.

Maka itu, wahai orang yang lalai!  Sedar dan bangunlah dari kelalaianmu!  Ketahuilah betapa bodoh dan jahil serta ruginya kamu tatkala Dzat Yang Maha Bijaksana,  Penguasa Segala yang Maha Agung dan Maha Indah telah memperkenalkan diri-Nya melalui  setiap makhluknya dengan bentuk yang menakjubkan dan dengan cara  keindahan yang berbagai tetapi kamu tidak mengenal-Nya dengan iman terhadap-Nya. Kamu juga tidak membuatkan dirimu dicintai-Nya melalui ibadahmu.

Topik kedua: Tidak ada tempat bagi syirik di alam jajahan Pencipta Yang Maha  Berkuasa lagi Maha Bijaksana.  Ini adalah kerana, kesempurnaan yang wujud berterusan tidak mungkin menerima adanya sekutu bagi-Nya.  Apabila ada banyak tangan masuk campur dalam penyelesaian sesuatu perkara, ia akan menimbulkan kesulitan.  Misalnya apabila ada dua raja dalam satu negara, dua gabenor dalam satu bandar, atau dua ketua dalam satu kampung, pasti akan timbul kekacauan dalam pentadbirannya.    Pegawai rendahan pun tidak akan membiarkan urusan tugasnya dicampuri oleh orang lain.  Ini jelas menunjukkan bahawa prinsip dasar bagi sesuatu pemerintahan adalah kemerdekaan dan seorang ketua yang boleh berdikari. Sebagaimana keteraturan memerlukan adanya kesatuan, kekuasaan juga memerlukan kemandirian.

Bayangan fana yang bersifat sementara bagi satu kekuasaan yang ada pada manusia yang lemah yang memerlukan bantuan pun tidak dapat menerima adanya campur tangan luar.  Apa lagi kekuasaan hakiki milik Dzat Yang Maha Berkuasa yang mempunyai kuasa dan kekutan mutlak. Sudah pasti Dia akan menolak sebarang campur tangan pihak lain. Campur tangan  dalam skala yang sangat kecil pun pasti akan menimbulkan kekacauan pada keteraturan.

Padahal alam ini dicipta dengan sedemikian rupa sehingga untuk mencipta satu atom pun perlu satu kuasa  yang mampu mencipta sebuah pohon.  Untuk mencipta sebuah pohon pun perlu ada kuasa yang mampu mencipta seluruh alam. Ini kerana biji benih adalah sampel alam semesta. Justeru seandainya ada sekutu di alam semesta ini, itu bermaksud dia juga terlibat di dalam penciptaan benih paling kecil sekalipun. Ini bermaksud, ada dua kekuasaan dalam benih kecil itu. Bahkan dalam atom. Ini sudah pasti mustahil dan merupakan khayalan yang tidak benar dan sangat tidak rasional.  Ketahuilah, wahai manusia! Syirik dan kekufuran merupakan sesuatu yang bersalahan, beracanggah dan tidak diterima.  Ini kerana keduanya memerlukan keadaan ketidakberdayaan pada Dzat Yang Maha Berkuasa mutlak yang menggenggam langit dan bumi.  Oleh itu ketahuilah bahawa keesaan Ilahi adalah hakikat kebenaran justeru ucapkan, “Segala puji dan syukur bagi Allah atas nikmat iman!”

KETIGA

Dengan nama-Nya, al-Hakam dan al-Hakim,   Tuhan Pencipta Yang Maha Berkuasa telah memasukkan ke dalam alam semesta ini ribuan alam yang teratur susunannya. Dia telah mencipta manusia sebagai pusat dan pusaran tengah. Manusia adalah makhluk-Nya yang paling hampir mencerminkan berbagai hikmah dan manfaat dalam ruang lingkup wilayah kehidupan di alam semesta ini.   Dalam wilayah kehidupan manusia ini, Dia menjadikan rezeki sebagai titik pusat.  Dalam kehidupan manusia sebahagian besar hikmah  dan manfaat mengarah dan terjelma melalui rezeki tersebut. Jelmaan nama al-Hakim nampak dalam bentuk yang paling jelas menakjubkan dan bersinar dari kebijaksanaan manusia dan dari perasaan semasa menikmati rezeki. Sehingga semua ilmu sains dari ratusan ilmu yang dikaji oleh akal manusia menyingkap dan menjelaskan jelmaan nama al-Hakam.

Sebagai contoh, jika ilmu perubatan ditanya, “Apakah alam semesta ini?” dia akan menjawab: “alam semesta ini adalah farmasi besar, tersusun dan sempurna.  Semua penawar disediakan dan disimpan di dalamnya dengan cara yang terbaik.”

Jika ilmu kimia ditanya, “Apakah sebenarnya galaksi bumi ini?” dia akan menjawab: “bumi ini adalah makmal kimia yang sangat teratur  sempurna.”

Ilmu sains kejuruteraan ditanya dia akan menjawab: “bumi adalah kilang yang sempurna tanpa sebarang ralat”

Ilmu sains pertanian akan menjawab: “bumi adalah taman dan ladang subur yang dapat mengeluarkan secara berkala dan tersusun berbagai jenis tanaman pada masa yang sesuai.”

Ilmu perdagangan akan menjawab: “bumi adalah bazar besar yang mempamerkan berbagai jenis barangan, pasar yang tersusun rapi dan kedai yang tersimpan berbagai jenis barang dagangan terbaik.”

Ilmu ekonomi akan menjawab: “bumi adalah gudang simpanan besar yang mengandungi pelbagai jenis aneka makanan.”

Ilmu pemakanan akan menjawab: “bumi adalah dapur Ilahi yang menyediakan ratusan ribu makanan lazat dengan sangat teratur dan sempurna.”

Ilmu pertahanan akan menjawab: “bumi, adalah kem askar yang besar tempat berkumpulnya askar bersenjata yang baru di setiap musim bunga. Walaupun jumlah askar-askar yang baru itu melebihi empat ratus ribu, kemah-kemah mereka didirikan di seluruh permukaan bumi. Mereka diberikan makanan, pakaian, senjata, latihan, pelepasan yang berbeza-beza dengan aturan yang sempurna tanpa sebarang masalah dan tidak seorang pun diabaikan melalui arahan, kuasa, kasih sayang seorang ketua komander, dari khazanah simpanannya.  Kesemuanya ditadbir dengan baik dalam cara yang normal.

Ilmu elektrik akan menjawab: “bumi yang atapnya diibaratkan istana alam semesta yang indah ini telah dihiasi dengan berbagai susunan lampu berkilauan yang begitu banyak tersusun dan seimbang dengan sangat menakjubkan. Susunan dan keseimbangan yang menakjubkan itu membuat lampu-lampu langit khususnya matahari yang besarnya seribu kali ganda daripada bumi terus bersinar tanpa merosakkan keseimbangan  dan tidak juga terbakar atau menyalakan api walaupun mereka membakar secara berterusan.  Pengeluaran cahayanya berterusan tanpa henti.  Dari manakah sumber cahaya, minyak dan bahan bakarnya? Mengapa cahayanya tidak pernah terpadam? Mengapa keseimbangannya tidak terjejas dengan pembakaran yang berlaku?  Walhal, pelita kecil pun akan terpadam jika tidak dipantau secara berterusan. Lihatlah hikmah dan kuasa Allah Dzat yang Maha Bijaksana lagi Maha Agung. Dia telah mencipta matahari yang menurut ilmu astronomi adalah sejuta kali lebih besar dari bumi dan telah berumur lebih dari sejuta tahun.  Matahari itu membakar tanpa pernah padam, tanpa bahan bakar atau minyak.[1] Segala puji-pujian bagi Allah!  Katakanlah:  Masya Allah, tabarakallah, la ilaha illallah, sebanyak jumlah detik dari usia matahari yang telah berlalu.

“Ini bermakna ada penjagaan yang teliti terhadap lampu-lampu langit yang tersusun indah dan menakjubkan itu.  Seolah-olah sumber pemanas dari api yang sangat besar dan banyak serta lampu-lampu dengan pelindung cahaya itu adalah neraka jahanam yang panasnya tak pernah padam; menyediakan haba tanpa cahaya.   Mesin dan kilang utama lampu elektrik itu pula adalah syurga yang kekal abadi yang menyediakan cahaya dan sinaran melalui jelmaan nama al-Hakam dan al-Hakim.  Mereka membakar secara berterusan dengan susunan yang teratur.”

Begitulah seterusnya.  Testimoni  tertentu dari ratusan ilmu seperti ini menunjukkan dengan jelas bahawa alam semesta ini telah dihiasi dengan berbagai hikmah, kemaslahatan dan manfaat dalam lingkungan susunan yang sempurna tanpa sebarang ralat. Aturan dan hikmah yang bersumber dari kebijaksanaan-Nya meliputi seluruh alam semesta ini telah dimasukkan dalam ukuran yang sangat kecil dalam biji benih dan sekecil-kecil makhluk hidup.  Jelas terbukti bahawa pelbagai tujuan, kemaslahatan,  hikmah dan manfaat tidak boleh diperoleh dengan cara lain kecuali dengan pilihan, kehendak,  niat dan tekad.  Tidak juga ia boleh terhasil dari kejadian alam dan penyebab yang berlaku dengan tidak sengaja yang tidak mempunyai kehendak, pilihan dan matlamat malah kesemua sebab dan kejadian tidak boleh masuk campur dalam urusan tersebut.

Jadi, adalah tidak waras dan luar biasa yang tidak dapat  digambarkan jika seseorang itu tidak mengenal atau tidak beriman kepada Pencipta yang Maha Bijaksana.  Dia adalah Pengurus yang mempunyai pilihan.  Seluruh alam dengan segala makhluk yang tidak terhitung jumlahnya bertebaran di seluruh alam semesta menjadi bukti kewujudan-Nya.  Ya, jika ada sesuatu yang pelik dan menghairankan di dunia ini, itu adalah penafian kewujudan Allah Ta’ala. Ini adalah kerana, hikmah aturan dan tertib segala sesuatu yang berterusan dan tak terhingga banyaknya dengan berbagai ragam bentuknya yang istimewa yang terkandung dalam setiap sesuatu di alam semesta ini wujud sebagai saksi terhadap kewujudan dan keesaan-Nya.  Manusia paling lalai pun  boleh faham betapa buta dan jahilnya mereka yang tidak nampak kewujudan Tuhan. Malah aku boleh mengatakan bahawa kaum sofis yang dianggap bodoh kerana menafikan kewujudan alam semesta ini adalah orang kafir yang paling bijak. Ini adalah kerana, menurut mereka untuk meyakini kewujudan alam semesta ini, perlu disertai dengan kepercayaan kepada Penciptanya—yaitu Allah Ta’ala.  Ini adalah sesuatu yang sangat mustahil bagi mereka dan tidak dapat diterima. Oleh itu, mereka menafikan kewujudan alam semesta ini sekaligus mengingkari kewujudan diri mereka sendiri. Menurut mereka, tidak ada yang wujud sama sekali. Mereka menidakkan akal mereka sendiri sekaligus menyelamatkan diri dengan  mendekati akal lebih sedikit dibandingkan dengan kaum kafir lain yang bersembunyi di balik akal.

KEEMPAT

Seperti yang telah diceritakan dalam Kalimat Kesepuluh, ada seorang arkitek yang bijaksana membina sebuah istana yang kukuh dan teliti dengan ratusan hikmah pada setiap batu-batu yang menghiasi ruang istana.  Adalah sesuatu yang  tidak dapat diterima oleh akal  manusia yang waras jika dengan sengaja dia tidak membuat atap untuk melindungi ciptaan tersebut dari mengalami kerosakan serta membiarkan segala hikmah dan manfaat yang ada menjadi sia-sia.   Begitulah juga, tidak mungkin Dzat Yang Maha Bijaksana yang mencambah, memelihara dan membesarkan tumbuhan dari biji benih yang kecil sehingga memperoleh ratusan manfaat dan hikmah.  Dia tidak akan melakukan sesuatu  yang sia-sia dan berlebihan. Ini adalah bertentangan dengan hikmah kebijaksanaan-Nya untuk memberikan pohon yang besar itu  manfaat yang tak bermakna, tujuan yang kecil, serta buah yang sedikit. Padahal kita mengetahui bahawa Dia telah mengorbankan banyak perkara untuk mengeluarkan hasil dan buahnya.

Dengan cara yang sama, Tuhan Pencipta Yang Maha Bijaksana menghiasi segala makhluk dan ciptaan di seluruh istana alam semesta ini dengan ratusan hikmah dan maslahat bagi melengkapi keperluan setiap satu daripadanya. Ini adalah untuk melaksanakan ratusan tugas masing-masing dan kepada semua pepohon yang dikurniakan hikmah untuk setiap buah dan memberikan tugas kepada setiap satu daripada bunga-bungaannya.   Semua kurniaan dan tugas yang diberikan kepada makhluk dan ciptaan-Nya yang tidak terkira bilangannya ini menjadi  sia-sia, tidak berguna, tiada tujuan dan matlamat jika Dia tidak mendatangkan alam akhirat serta tidak menghadirkan hari kebangkitan dan kiamat.  Itu menampakkan sifat ketidakberdayaan kuasa sempurna Dzat Yang Maha Berkuasa mutlak serta menunjukkan sia-sia dan tiada matlamat segala kebijaksanaan Dzat Yang Maha Bijaksana serta meletakkan kecacatan pada keindahan rahmat Dzat Yang Maha Penyayang, serta menisbatkan kezaliman kepada keadilan Dzat Yang Maha Adil. Ringkasnya, keadaan itu mengingkari semua kebijaksanaan, rahmat, dan keadilan-Nya yang wujud jelas dapat dilihat oleh segala makhluk-Nya di alam semesta ini. Tentu sahaja ini sangat mustahil dan sangat tidak benar.  Perlihatkanlah kaum yang sesat akan kegelapan yang menakutkan pada kesesatan mereka seperti mana adanya kala jengking dan ular dalam kubur mereka nanti. Mereka harus tahu bahawa kepercayaan kepada hari akhirat adalah jalan iman yang indah bersinar sama seperti syurga. Oleh itu dakapilah keindahan iman.

KELIMA

Bahagian ini mengandungi dua topik persoalan.

Topik Pertama: Nama al-Hakim, meninggalkan jelmaan Tuhan Pencipta Yang Agung  dengan jalan yang paling ringan, paling singkat, paling mudah, dalam bentuk yang paling bermanfaat menunjukkan bahawa tiada sesuatu pun yang berlebihan, sia-sia dan tanpa manfaat bagi segala sesuatu dalam bentuk fitrah semula jadinya. Pembaziran adalah berlawanan  dengan nama al-Hakim manakala berjimat-cermat adalah prinsip asas.  Oleh itu, wahai manusia yang membazir dan berlebih-lebihan! Ketahuilah jika kamu tidak mengamalkan sikap berjimat-cermat, yang merupakan prinsip paling asas di alam semesta, kamu telah bertindak berlawanan dengan hakikat kebenaran. Kamu perlu faham apakah yang menjadi keperluan, prinsip yang membawa pengajaran seperti dalam firman Allah berikut:

Topik Kedua: Nama al-Hakam dan al-Hakim menunjukkan dan mengharuskan kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW pada tahap yang sangat jelas.

Ya, sebuah buku yang bermakna mengharuskan kewujudan seorang guru untuk mengajarkannya.  Sebuah keindahan yang menakjubkan mengharuskan kewujudan sebuah cermin untuk memperlihat dan melihat keindahan dirinya. Sebuah karya agung yang sempurna pula memerlukan akhbar untuk menghebahkan berita mengenainya.  Maka sudah pasti dalam kalangan manusia yang diseru oleh buku alam sejagat yang agung itu, yang mana setiap hurufnya mengandungi ratusan makna dan hikmah, wujud orang yang menyeru kepadanya.  Seorang pemimpin yang paling sempurna dan pengajar yang paling agung.  Kerana dia akan membimbing manusia kepada berbagai hikmah suci dan hakiki yang terdapat dalam kitab besar itu. Dia akan mengkhabarkan tentang berbagai hikmah yang wujud dan tujuan wujudnya alam semesta ini.  Dia menjadi tujuan kemunculan, bahkan sebab kewujudan serta penciptaan alam semesta; untuk memberi khabar dan menjadi cermin kesempurnaan seni Pencipta dan keindahan nama-nama-Nya yang mulia seperti yang ingin diperlihatkan kepentingannya oleh Tuhan kepada seluruh alam semesta.

Oleh kerana Tuhan Maha Pencipta mahu dicintai oleh seluruh makhluk ciptaan-Nya dan ingin membangkitkan rasa rindu dalam kalangan  makhluk ciptaan-Nya yang berakal, maka seorang daripada mereka memberikan pengabdian menyeluruh mewakili seluruh makhluk di muka bumi ini.  Dia akan membangkitkan rasa rindu dan cinta di seluruh alam baik di darat mahu pun di laut dengan memalingkan perhatian seluruh makhluk kepada Sang Pencipta Yang Maha Agung yang mencipta segala seni.   Melalui dakwah sucinya dan pengajaran al-Quran kalam teragung dia menunjukkan berbagai pelajaran suci dan petunjuk penuh hikmah yang berasal dari al-Qur’an kepada orang-orang yang berakal dan menjelaskan berbagai maksud suci Sang Pencipta Yang Maha Bijaksana. Kewujudannya untuk menyambut keseluruhan kesempurnaan jelmaan  kewujudan hikmah mendalam yang disertai dengan keindahan dan keagungan-Nya.  Manusia yang boleh memegang peranan tersebut dan melaksanakan segala tugas di atas dalam bentuk yang paling sempurna hanyalah Rasul SAW, utusan yang paling mulia.  Sebagaimana matahari mengharuskan wujudnya sinaran dan sinaran tersebut mengharuskan wujudnya siang, maka berbagai hikmah yang tersebar di seluruh alam mengharuskan kehadiran Muhammad SAW sebagai seorang nabi dan rasul.

Ya, sebagaimana jelmaan agung dari nama al-Hakam dan al-Hakim mengharuskan kerasulan Muhammad SAW, begitulah sebilangan besar nama-nama Tuhan yang indah seperti Allah, ar-Rahman, ar-Rahim, al-Wadud, al-Mun’im, al-Karim, al-Jamil, dan ar-Rabb, mengharuskan sebahagian besar jelmaannya di seluruh alam semesta dengan kehadiran Muhammad SAW sebagai utusan-Nya.

Contohnya rahmat Allah yang luas yang merupakan jelmaan nama ar-Rahim nampak jelas pada insan (Muhammad SAW) yang diutuskan sebagai rahmat bagi seluruh alam semesta.  Tuhan yang Maha Berkuasa membuat diri-Nya dikenali dan dicintai melalui jelmaan nama al-Wadud, buah daripada keduanya terjelma pada kekasih Allah, Rabb sekelian alam yang memberi respon kecintaan Ilahi.    Segala jenis keindahan, yang merupakan jelmaan daripada nama al-Jamil  iaitu keindahan Dzat, keindahan nama-nama Ilahi, keindahan seni penciptaan-Nya, keindahan makhluk dapat dilihat dengan jelas pada cerminan Muhammad.  Jelmaan  keagungan Rububiyyah dan dominasi kekuasaan Tuhan dapat diketahui, dapat dikenali, dapat difahami, dapat diyakini melalui risalah utusan Allah, Muhammad SAW.  Dia da’i agung yang menyeru kepada Penguasa alam semesta.  Begitulah seperti contoh-contoh yang diberi, sebahagian besar nama-nama Tuhan adalah bukti nyata terhadap risalah yang dibawa oleh Muhammad SAW.

KESIMPULAN:  Oleh kerana kewujudan alam ini tidak boleh dinafikan,  begitulah segala hakikat nyata dengan hikmah kebijaksanaan,  kasih sayang, rahmat, keindahan, keteraturan, keseimbangan, dan perhiasan seperti warna, hiasan, cahaya, sinaran, seni, kehidupan dan ikatan dengan alam semesta juga tidak boleh dinafikan.  Oleh kerana mustahil menafikan segala sifat dan kejadian maka sudah tentu Dzat Yang Maha Suci, Maha Agung Wajibul Wujud, Maha Berhikmah, Megah, Penyayang, Cantik, Bijaksana dan Yang Maha Adil dengan petunjuk dari sifat-sifat tersebut sebagai Pencipta segala kejadian, Matahari dan Sumber segala Cahaya tidak boleh dinafikan dengan apa cara sekalipun.  Jadi, sudah pasti kerasulan Muhammad SAW, yang merupakan seorang pemimpin besar, guru yang sempurna, pendakwah agung, pembawa berita, penyingkap rahasia alam, cermin kepada Tuhan, kekasih ar-Rahman yang menjadi penghubung kepada sifat-sifat dan ciptaan yang dipamerkan bahkan dengan segala kesempurnaan dan pengetahuan segala makhluk-Nya justeru dengan apa cara sekali pun tidak bleh dinafikan. Risalahnya merupakan cahaya paling cemerlang di alam ini sama seperti cemerlangnya sinar alam hakikat dan cahaya hakikat alam.

[1] Jika dikira jumlah bahan bakar dan minyak yang diperlukan oleh matahari untuk sentiasa bersinar, maka menurut para ahli ilmu astronomi, ia memerlukan bahan bakar sebanyak sejuta kali ganda daripada saiz bumi serta memerlukan minyak sebanyak ribuan luas lautan yang ada. Saksikanlah keagungan Tuhan Pencipta Yang Maha Agung, yang telah menyalakan pelita alam ini tanpa bahan bakar dan minyak. Dia  menyalakannya terus-menerus tanpa berhenti. Renungkan kuasa dan kebijaksanaan Allah yang luas, dan katakanlah subhanallah, masya Allah, tabarakallah, sebanyak jumlah atom matahari.

Tinggalkan komen